Wednesday, October 3, 2018

STATUS HADITH PUASA ARAFAH





Ada yang bertanya berkenaan kesahihan hadith Puasa Hari Arafah. Secara ringkasnya:

Imam Muslim meriwayatakan dalam shahihnya dengan sanadnya (secara ringkas):

Daripada Muhammad bin Al-Mutsanna, dan Muhammad bin Bassyar, daripada Muhammad bin Ja'afar, daripada Syu'bah, daripada Ghaylan bin Jarir daripada Abdullah bin Ma'bad Az-Zimmani daripada Abi Qatadah Al-Ansari RA bahawasanya Nabi Sallallahi'alaihuwasallam pernah ditanya berkenaan Puasa Arafah, baginda bersabda:

يكفر السنة الماضية والباقية 

" Ia menghapuskan dosa pada tahun yang lalu dan tahun yang tersisa. "

1)  Hadith Abi Qatadah Al-Ansari RA berkenaan kelebihan Puasa Arafah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim rahimahullah ini adalah Shahih, ia dishahihkan oleh para Imam muhadithin antaranya:

a) Imam Muslim dalam Shahihnya no:1162.Tiada seorang pun nuqqad (pengkritik) Shahihain seperti Ad-Daruquthni, Ibnu Ammar dan Ibnu Al-'Attar yang melemahkan atau mengkritik hadith ini,dan para Ahli Ilmu telah bersepakat menerima hadith-hadith dalam Shahihain selagi mana tiada kritikan dalamnya,dan hadith Abi Qatadah termasuk hadith yang tidak dikritik oleh mereka.

b) Imam At-Tirmidzi, beliau berkata: " Hadith Abi Qatadah adalah hadith hasan,dan Ahli Ilmu berpegang bahawa mustahab(disunnahkan) berpuasa hari Arafah kecuali mereka yang wukuf di Arafah". 
[ Jaami' At-Tirmidzi no:749 ]

c) Imam An-Nasaie,kata beliau:

 هذا أجود حديث في هذا الباب عندي 

"Ini adalah hadith yang terbaik dalam bab ini(puasa arafah) di sisiku"  [ Sunan Al-Kubra no:2826 ]

d) Ibnu Khuzaimah dalam Shahihnya 3/291, Al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah 6/343, Ibnul Qayyim dalam Hasyiah Sunan Abi Daud 7/76, Ibnu 'Abdil Barr dalam At-Tamhid 21/162, Ibnu Hajar dalam Fathul Bari 4/237.

2) Mereka yang melemahkan hadith Abi Qatadah r.a mendakwa Abdillah bin Ma'bad Az-Zimmani tidak mendengar dari Abi Qatadah dengan berhujjahkan perkataan Imam Al-Bukhari dalam Tarikh Al-Kabir 3/67,5/198,Tarikh As-Soghir 1/266:

" لا نعرف سماعه.يعني عبد الله بن معبد من أبي قتادة" 

"Aku tidak tahu Sama'(mendengarnya) 'Abdillah bin Ma'bad daripada Abi Qatadah"


Jawapan:

a) Imam Al-Bukhari menyatakan dia tidak tahu secara pasti Sama'(mendengarnya) Abdillah bin Ma'bad Az-Zimmani daripada Abi Qatadah, bukannya dia menafikan secara pasti, kalau tidak sudah tentu Imam Al-Bukhari akan menggunakan lafaz: " لم يسمع منه " Dia tidak mendengar darinya".Atau katanya: Mursal, sebagaimana kebiasaan beliau.

b) Majoriti Muhadditihin mengitsbatkan Sama'(mendengarnya)Abdullah bin Ma'bad daripada Abi Qatadah dan mereka tidak memandang perkataan Al-Bukhari itu sesuatu yang memudaratkan hadith, sebagaimana dijelaskan oleh Az-Zahabi ketika mengulas perkataan Al-Bukhari itu: "لا يضره ذلك ""Tidak memudaratkannya (Abdullah bin Ma'bad) perkataan tersebut" [ Diwaan Ad-Dhu`afa` no:2319 ] rujuk jawapan sebelum ini.

c) Kekeliruan kerana menganggap semua perawi yang disebut dalam Kitab Ad-Dhu'afa'(Perawi-Perawi Yang Lemah) khususnya Abdullah bin Ma'bad Az-Zimmani adalah lemah kerana beliau tidak mendengar dari Abi Qatadah,sedangkan bukan semua yang disebut dalam Kitab Ad-Dhu'afa' itu dikira lemah,contohnya Al-'Uqaili pernah menyenaraikan nama Imam Ali bin Al-Madini dalam Kitabnya Ad-Dhua'afa' menyebabkan Az-Zahabi mengingkarinya, sedangkan Ali bin Al-Madini ialah Imam yang makruf kedudukan dan ketsiqahannya.Begitu jugalah sama keadaannya,Ibnu 'Adi menyenaraikan Abdullah bin Ma'bad Az-Zimmani dalam kitabnya Al-Kamil 5/372 hanya kerana bersandarkan perkataan Al-Bukhari tersebut sebagaimana dijelaskan oleh Ibnu Hajar dalam Tahzib At-Tahzib 6/40.

d) Dakwaan mereka yang menyatakan syawahid (penyokong) hadith ini kesemuanya lemah adalah tidak tepat,kerana ramai Ulama Hadith sudah menjawabnya dan membawakan syawahidnya yang menunjukkan ianya bertaraf hasan antaranya Ibnu Abdil Bar, Al-Mundziri, Al-Haithami, Al-Busiri dan Al-Albani dan selain mereka.

[ Rujuk Al-Irwa'4/109,At-Targhib 2/68,Majma' Az-Zawaid 3/189,Misbah Az-Zujajah2/75.

Kesimpulan dan Nasihat

Hadith Abi Qatadah RA berkenaan kelebihan puasa Arafah adalah hadith yang shahih lagi tsabit tanpa syak dan ianya telah diamalkan oleh Ahli Hadith dan fuqaha' zaman berzaman,berpuasa pada hari Arafah hukumnya sunat bagi mereka yang tidak mengerjakan haji,dan nasihat saya janganlah kita membuka ruang keraguan kepada masyarakat awam terhadap hadith-hadith yang terkandung dalam Kitab-kitab yang telah disepakati keshahihannya di sisi Ahli Sunnah secara umum seperti Shahih Muslim di saat sumber-sumber kita terang-terangan ditolak oleh musuh-musuh As-Sunnah seperti Syiah Rafidhah dan golongan seperti mereka. 

Wallahu'alam,

Kota Nabi 4 Oktober 2014 

No comments:

Post a Comment

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II 16. Syeikh Badi'u ddin Rasyidi Al-Sindhi yang meru...