Sunday, September 30, 2018

APAKAH MAKHLUK TERAWAL YANG DICIPTA ALLAH?



Permulaan penciptaan alam sudah dibahaskan awal oleh ulama islam. Selain Imam Abu Jaafar Al-Tabari (wft:310H) dalam kitabnya Tarikh Al-Rusul wal Mulk, Al-Mutahhir bin Tahir Al-Maqdisi (355H) juga antara yang terawal membahaskan dalam sebuah kitab khusus yang berjudul Al-Bad'u wa Al-Tarikh sebanyak 6 jilid yang membahaskan maqalaat Falasifah dan mazhab mereka berkenaan permulaan penciptaan makhluk,  beliau juga menyebutkan pendapat Ahli Kitab dan ulama Islam. Beliau menyebutkan berkenaan pendapat Syiah dalam penciptaan makhluk. Katanya: 




" Aku telah mendengar sebahagian Syiah mendakwa bahawa makhluk terawal yang dicipta Allah adalah Nur Muhammad dan Ali, mereka meriwayatkan dalamnya beberapa riwayat Wallahu'alam akan kebenarannya."   [ Al-Bad' wa Al-Tarikh 1/150 ] 

InsyaAllah penulis akan bahaskan berkenaan Nur Muhammad ini pada perbahasan khusus. Walaupun secara ringkas semua riwayat berkenaan makhluk terawal dicipta adalah Nur Muhammad adalah palsu dan batil.

Ulama Islam telah bersepakat Allah SWT mencipta langit dan bumi serta apa yang berada di antaranya selama enam hari, mereka berbeza pendapat dalam menafsirkan enam hari itu. Sebahagian Ulama ada yang mengatakan bilangan hari itu adalah sama seperti hari-hari di dunia. Ada juga berdalilkan dengan ayat 47 dalam Surah Al-Hajj mengatakan satu hari di sisi Allah bersamaan 1000 tahun yang dikira kita di dunia. Wallahu'alam.

Kemudian Ulama Islam berbeza pendapat pula adakah sebelum penciptaan langit dan bumi ada makhluk lain yang sudah dicipta? Di kalangan sekelompok mutakallimin mendakwa tiada makhluk sebelum penciptaan langit dan bumi, pendapat ini adalah batil.  

Jumhur Ulama berpendapat makhluk yang terawal dicipta adalah Arasy, sebahagian Ulama lagi berpendapat makhluk terawal adalah Qalam (Pena), dan sebahagian lagi antaranya Ibnu Ishak berpendapat makhluk pertama yang dicipta adalah cahaya dan kegelapan. Sandaran pendapat ulama yang mengatakan Qalam(Pena) dan Arasy merupakan antara makhluk terawal adalah sahih, manakala sandaran Ibnu Ishak hanyalah bertepatan dengan apa yang dipegang oleh Ahli Kitab dalam Kitab Taurat.

AIR DAN ARASY

Allah SWT berfirman:

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۗ 

Dan Dia lah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam hari, sedang "ArasyNya, berada di atas air (Ia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. [ Hud:7 ] 

Dalam hadith Imran bin Husoin RA, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

" كَانَ اللَّهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ غَيْرُهُ، وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ، وَكَتَبَ فِي الذِّكْرِ كُلَّ شَيْءٍ، وَخَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ ". 

" Dialah Allah yang tidak ada sesuatu selain Dia, sedang ArasyNya di atas air, lalu Dia menulis di didalam adz-Dzikir (Luh Mahfuz) segala sesuatu (yang akan terjadi) lalu Dia menciptakan langit dan bumi" 

[ HR Al-Bukhari ]

Kata Al-Tibi:

أن الماء والعرش كانا مبدأ هذا العالم لكونهما خلقا قبل خلق السموات والأرض، ولم يكن تحت العرش إذ ذاك إلا الماء.

" Bahawa air dan arasy keduanya adalah permulaan alam ini kerana keduanya telah dicipta sebelum penciptaan langit dan bumi, tiada dibawah Arasy ketika itu melainkan air." [ Fathul Bari ] 

Kata Imam Ibnu Jarir Al-Tabari: 

وأولى القولين في ذلك عندي بالصواب قول من قال: إن الله تبارك وتعالى خلق الماء قبل العرش، لصحة الخبر الذي ذكرت قبل

" Pendapat yang lebih benar disisiku adalah pendapat yang mengatakan: Sesungguhnya Allah Tabaraka wa Ta'ala mencipta air sebelum Arasy berdasarkan kesahihan khabar yang telah aku sebutkan sebelum ini." [ Tarikh Al-Tabari 1/40 ] 

Ayat dan hadith ini menjadi dalil menunjukkan air dan arasy adalah antara makhluk yang terawal dicipta sebelum penciptaan langit dan bumi sebagaimana yang disebutkan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar.

Sebagai tambahan sila rujuk artikel penemuan Quasar oleh  NASA  iaitulah Resevoir of water (simpanan air) di angkasa. Mereka mendapati bilangan air di angkasa itu 140 trillion kali ganda lebih luas berbanding lautan yang ada di muka bumi. Jika penemuan ini benar ia hanyalah membenarkan apa yang disampaikan oleh Allah dan Rasul. Wallahu'alam akan kaifiatnya.


QALAM DAN LUH MAHFUZ 

Sebahagian Ulama antaranya Ibnul Jauzi dan selainnya berpendapat Allah SWT mencipta Qalam (Pena) sebelum penciptaan segala sesuatu. Mereka berdalilkan dengan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Al-Tirmidzi daripada Ubadah bin Somit RA, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا خَلَقَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى الْقَلَمُ ثُمَّ قَالَ اكْتُبْ فَجَرَى فِي تِلْكَ السَّاعَةِ بِمَا هُوَ كَائِنٌ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ

" Sesunggunya makhluk terawal yang dicipta Allah Tabaraka wa Ta'ala adalah Qalam (Pena), kemudian Allah ta'ala berfirman: "Tulislah, " maka pada saat itu pula diberlakukan apa saja yang terjadi hingga hari kiamat "  [ HR Ahmad, Abu Daud & Al-Tirmidzi ]

Pendapat yang dipegang oleh jumhur Ulama adalah Arasy merupakan makhluk yang terawal, sebagaimana dinukilkan oleh Al-Hafiz Abul 'Ala Al-Hamadzani dan selainnya, dalilnya adalah hadith Abdullah bin Amr bin Al-'As bahawa beliau mendengar Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

كَتَبَ اللَّهُ مَقَادِيرَ الْخَلَائِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ قَالَ وَعَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ

" Allah telah menulis takdir ketetapan bagi semua makhluk lima puluh ribu tahun sebelum Allah menciptakan langit dan bumi.' Rasulullah menambahkan: 'Dan Arasy Allah itu berada di atas air."  [ HR Muslim ] 

Al-Hafiz Ibnu Kathir merajihkan pendapat jumhur Ulama ini dan menyatakan Qalam(Pena) pula adalah awal makhluk yang dicipta di alam ini (alam sufli (bawah)).

Apa yang kita sebutkan ini tidak lain hanyalah hendak mengajak semua pembaca untuk bersama mengetahui pendapat sebenar dalam isu ini, tidak mudah terpedaya dengan dakwaan golongan Sufi dan Syiah yang mengatakan makhluk terawal yang dicipta adalah Nur Muhammad sekaligus kita dapat mengagungkan kebesaran Allah SWT dengan benar mengithbatkan sifat ketinggian zat Allah di atas makhlukNya sebagaimana kata Imam Muhammad bin Ishak (wft:151H) rahimahullah:

فكان كما وصف نفسه -تبارك وتعالى -إنه ليس إلا الماء عليه العرش، وعلى العرش ذو الجلال والإكرام والعزة والسلطان والملك والقدرة والحلم والعلم والرحمة والنقمة الفعَّال لما يريد 

" Maka ia sepertimana yang Dia sifatkan DiriNya sendiri-Tabaraka wa Ta'ala- sesungguhnya tiada apa pun kecuali air yang diatasnya Arasy, dan di ats Arasy itu adanya Allah pemilik Keagungan, Kebesaran, Kemuliaan, Kekuasaan, Kerajaan, Kekuatan, Kelembutan, Ilmu, Rahmat, Azab, Dan Dia Maha Melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki".  [ Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Hatim 6/2005, rujuk Mausu'ah Tafsir bil Ma'thur 11/196 ]


Wallahu'alam.



1 comment:

  1. Ada tirai nur yg meniraikan dzat. Arasy di atas air, tirai nur diatas arasy.

    ReplyDelete

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II 16. Syeikh Badi'u ddin Rasyidi Al-Sindhi yang meru...