Wednesday, October 3, 2018

WAJIBKAH QADHA' SOLAT YANG DITINGGALKAN SENGAJA?



Pandangan beberapa Ulama yang berijtihad tidak wajib qadha' solat fardhu yang ditinggalkan tanpa keuzuran  merupakan pendapat sekumpulan sahabat Nabi dan tabi'in dan ia adalah Mazhab Al-Humaidi (guru Imam Al-Bukhari), sebahagian Syafi'iyyah dan Hanabilah seperti Al-Juzjaani, Abu Muhammad Al-Barbahari, Ibnu Battah dan pendapat ini dipilih oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah, Ibnul Qayyim, Ibnu Hazm, Al-'Allamah Al-Albani dan Syeikh Muqbil bin Hadi Al-Wadi'i Rahimahumullah. 

Adalah zalim apabila mendakwa pendapat mereka didasari hawa nafsu begitu jugalah tidak boleh meremehkan pendapat jumhur Ulama. Hujjah mereka yang berpandangan tidak wajib qadha' solat yang ditinggalkan tanpa keuzuran juga kuat antaranya:

1) Allah telah menentukan bagi setiap solat fardhu itu waktunya yang tertentu, barangsiapa yang melampaui batas waktunya maka dia telah menzalimi dirinya sendiri.Firman Allah SWT:

ومن يتعد حدود الله فقد ظلم نفسه 

Barangsiapa yang melampaui batasan-batasan Allah maka sesungguhnya dia telah menzalimi dirinya sendiri.

[At-Talaq:1]

2) Tiada beza antara orang yang solat sebelum masuk waktu dan orang yang solat selepas luput waktunya (tanpa keuzuran) kerana kedua-duanya dilakukan bukan pada waktu yang telah ditetapkan Allah.

3) Qadha' adalah kewajipan Syariat, dan syariat tidak boleh didasari melainkan perintah daripada Allah atas lisan RasulNya. Jika boleh menunaikan solat diluar waktunya tidak bermaknalah penetapan akhir waktu solat oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam.

4) Sebahagian Ulama yang berpandangan dengan pendapat ini berhujjah dengan hadith Abdullah bin Umar dalam Shahih Al-Bukhari:

 من فاتته صلاة العصر،فكأنما وتر أهله وماله 

"Barangsiapa yang terluput solat asar, maka seakan-akan ia kehilangan keluarganya dan hartanya".

Maka hadith ini menunjukkan barangsiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja dia tidak mampu untuk mencapai pahala solat yang tertinggal walau dengan qadha' dan ini menunjukkan satu ancaman yang besar buat mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja dan tiada yang boleh menggantikannya melainkan dengan taubat nasuha.

5) Hujjah jumhur dengan hadith فدين الله أحق أن يقضى "Hutang Allah lebih berhak untuk diganti" iaitu dengan mengqiyaskan mereka yang tinggalkan solat kerana terlupa atau tidur dengan mereka yang sengaja tinggalkan solat tanpa uzur adalah qiyas naqidh 'ala naqidihi. Kerana seorang muslim dituntut agar melaksanakan ibadat tersebut pada waktu yang telah ditetapkan oleh Allah,apabila waktunya telah terkeluar maka ia tidak dituntut dengan perintah tersebut bahkan orang yang sengaja meninggalkan solat dengan sengaja berdosa besar dan wajib bertaubat.

6) Jika diteliti pendapat ini bukanlah seperti sangkaan sebahagian mereka yang terkeliru mendakwa ia bertujuan meremehkan solat atau bermudah-mudah dalam hukum, bahkan pendapat ini jika diteliti lebih syadid kerana solat mereka yang meninggalkan solat secara sengaja tidak akan diterima oleh Allah apabila ia dilakukan bukan pada waktunya walaupun ia sudah qadha' kecuali dengan dia kembali bertaubat dan mengerjakan solat pada waktunya.

7) Tidak dinafikan pendapat jumhur Ulama dilihat agak berhati-hati.Justeru bagi mereka yang awam dan bukan dari kalangan penuntut ilmu lebih baik mereka merujuk fatwa Ulama di tempat mereka selagimana ia termasuk dalam daerah khilaf saaigh yang terbuka pada ruang ijtihad.Dalam pada masa yang sama hendaklah berlapang dada dan tidak boleh menyesatkan antara satu sama lain dalam perkara ijtihad.

8) Bagi mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja wajib segera bertaubat kepada Allah, dan mengerjakan solat pada waktunya,termasuk daripada tuntutan taubat adalah dengan memperbanyakkan amal soleh termasuklah solat.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II 16. Syeikh Badi'u ddin Rasyidi Al-Sindhi yang meru...