Monday, October 15, 2018

SALAFI JIHADI: ISTILAH YANG DISALAHFAHAMI BAHAGIAN I





Baru-baru ini negara kita dikejutkan dengan penangkapan yang dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap beberapa individu yang disyaki ada hubungan dengan terorisme di sebuah Pusat Pengajian Islam di Negeri Perlis. Sebagai seorang muslim dan warganegara Malaysia yang cintakan keamanan kita sentiasa menyokong usaha pihak berwajib bagi mengekang segala bentuk ancaman yang boleh memudaratkan negara yang tercinta ini. Namun menuduh tokoh Ulama Ahli Sunnah sebagai ekstrem dan sumber keganasan adalah suatu fitnah yang tidak boleh diterima.


DEFINISI TERORISME


Definisi terorisme yang telah disepakati oleh Islamic Fiqh Council Muslim World League yang berpusat di Makkah adalah: " Permusuhan dan keganasan yang dilakukan oleh individu-individu, kumpulan-kumpulan atau negara-negara tertentu yang bertindak melampaui batas terhadap manusia, sama ada dalam agamanya, darahnya, akalnya, hartanya dan kehormatannya. Ia merangkumi pelbagai tindakan yang boleh menimbulkan ketakutan, kecederaan dan pembunuhan tanpa hak, semua tindakan serta aktiviti yang mengandungi elemen keganasan dan sebagainya". [ Bayan Makkah Al-Mukarramah, Majma' Al-Fiqh Al-Islami hlm 355-356 ]


Berdasarkan definisi ini jelas kepada kita, terorisme boleh berlaku dalam setiap individu dan kumpulan tanpa melihat kepada agama, aliran atau ideologi yang tertentu. Di negara-negara Arab kita menyaksikan wujud kumpulan teroris yang menggunakan nama Islam seperti Al-Qaeda, Daesh, Hizbullah di Lubnan, Ansarullah (syiah houthi) di Yaman, Abu Sayyaf di Filipina. Di Amerika pernah wujud militan Kristian seperti Ku Klux Klan (KKK), di India wujudnya militan kristian seperti Manmasi National Christian Army (MNCA), Di Myanmar wujudnya gerakan teroris Buddha yang membantai etnik muslim Rohingnya, di Sri Lanka wujudnya militan Hindu, Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE), di Palestin bagaimana Israel yang merupakan sebuah negara juga melakukan pembantaian terhadap umat Islam di Palestin. Jika ditanyakan kepada penganut agama Kristian, Buddha dan Hindu sudah tentu mereka juga tidak akan bersetuju dengan tuduhan agama masing-masing adalah sumber yang membawa kepada terorisme. 


KHAWARIJ DALAM ISLAM


Dalam Islam istilah ekstremis dan terorisme ini sudah dibahaskan oleh para Ulama Islam yang terawal khususnya perbahasan berkenaan firaq (sekte) yang menyimpang dalam Islam. Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam telah memberi peringatan betapa bahayanya sikap ekstrem yang akan memusnahkan umat ini sebagaimana musnahnya umat-umat terdahulu. Nabi juga telah memperingatkan umatnya terhadap golongan Khawarij yang akan muncul pada setiap zaman. Antara gerakan terorisme yang pertama kali muncul dalam sejarah umat Islam adalah gerakan Khawarij. Mereka telah mengkafirkan  dan menghalalkan pemberontakan ke atas pemerintah islam yang sah ketika itu iaitu Khalifah Ali bin Abi Talib.


Pengkafiran mereka terhadap kaum muslimin berpunca dari salah faham mereka terhadap Al-Quran oleh sebab itulah slogan utama golongan Khawarij adalah " Tiada Hukum Melainkan Milik Allah" . Setelah berlaku pertempuran Siffin antara pihak Ali dan Muawiyyah, tentera Syam mula mengangkat mushaf-mushaf mereka lantas tindakan tersebut menggerunkan tentera Iraq. Oleh sebab itu kedua-dua pihak mengambil jalan untuk berdamai dengan masing-masing memilih wakil untuk diadakan Tahkim. Tentera Iraq memilih Abu Musa Al-Asy'ari ,manakala tentera Syam memilih 'Amr bin Al-'As RA. Setelah itu berpecahlah mereka yang terlibat dalam pertempuran Siffin. Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengikuti apa sahaja keputusan yang didasari oleh Al-Quran dan mereka akan berhimpun di Daumah Al-Jandal, jika mereka tidak berkesempatan untuk berhimpun di situ maka mereka akan berhimpun pada tahun berikutnya di Adzruh. 


Apabila Ali dan tenteranya bersurai maka keluarlah sekelompok golongan Qurra'(Pembaca Al-Quran) daripada Harura' tidak bersetuju dengan keputusan Ali lalu menyelisihi dan keluar daripada ketaatan terhadap Ali lantas mereka berkata:“ Tiada hukum melainkan milik Allah!”. Kelompok Khawarij yang keluar memberontak terhadap Ali ini berpandangan tindakan Ali menyetujui Tahkim ini adalah kekufuran walaupun pada awalnya merekalah juga yang memaksa agar Ali menerima Tahkim ketika tentera Muawiyyah mengangkat mushaf menawarkan perdamaian. Apabila Ali mengutuskan Abu Musa Al-Asy`ari dan tenteranya ke Daumah Al-Jandal bertambah marahlah kelompok Khawarij lantas mereka mengkafirkan Ali serta merta. Zur'ah bin Al-Burji Al-Thoie dan Hurqus bin Zuhair Al-Sa'di daripada kelompok Khawarij datang menemui Ali lalu berkata:


“Tiada hukum melainkan milik Allah!”


 Jawab Ali: “Perkataan yang benar tetapi yang dimaksudkan dengannya adalah kebatilan!”


Slogan Hakimiyyah inilah yang dijadikan syiar utama gerakan Khawarij ketika itu untuk mengkafirkan Ali dan Muawiyyah dan sesiapa sahaja yang redha dengan Tahkim. Kata Zur'aj bin Al-Burj:


Ketahuilah demi Allah wahai Ali,jika engkau tidak meninggalkan Tahkim (mengambil hukum)manusia dalam Kitab Allah Azza wa Jalla aku akan memerangimu,dengan hal tersebut aku mengharapkan wajah Allah dan keredhaanNya” [ Tarikh Al-Tabari ] 


ABUL 'ALA AL-MAUDUDI 


Para pengkaji dari kalangan Ulama Islam berpendapat bahawa doktrin Khawarij telah dihidupkan semula di era moden ini melalui tafsiran politik yang menyeleweng terhadap Islam. Dan ia bermula pada tahun 1939 apabila Abul 'Ala Al-Maududi menyampaikan ceramahnya yang berjudul  Nazariah Al-Islam (Teori Islam) yang kemudian isi kandungannya dijadikan risalah dan diterjemahkan dalam bahasa arab pada tahun 1946 Masihi.


Dua tahun kemudiannya telah diterbitkan pula risalah tulisannya yang dikenali sebagai Al-Mustalahat Al-Arba'ah (Istilah yang empat) yang menyingkap hakikat penyelewengannya sehingga risalah ini menjadi rujukan utama bahkan berperanan penting dalam menggerakkan doktrin Khawarij pasca moden. Menurut salah seorang tokoh Khawarij zaman ini, Abu Mus`ab Al-Suuri:


“ Dan salah satu buku-bukunya yang terpenting adalah (Al-Mustalahaat Al-Arba'ah) kerana ia meliputi asas-asas pemikiran jihadi zaman kini


Al-Maududi telah mentafsirkan empat istilah ini luar dari kefahaman dan tafsiran yang benar. Empat istilah dan tafsiran yang dimaksudkan oleh Al-Maududi adalah Al-Ilah, Al-Rabb, Ad-Din dan Al-Ibadah. Berikut merupakan contoh penyelewengan Al-Maududi:


1.  Menurut Al-Maududi Tauhid yang diseru oleh para Nabi dan Rasul serta pertentangan yang berlaku antara mereka dan kaum masing-masing adalah Tauhid Hakimiyyah bukanlah Tauhid Uluhiyyah atau Rububiyyah. Kata Al-Maududi:


“ Dan orang musyrikin arab mereka dahulu telah meyakini akan kewujudan Allah, bahawasanya Dialah Pencipta alam ini keseluruhannya, dan adalah mereka menyerahkan baginya Uluhiyyah dan Rububiyyah……..tetapi mereka mengambil pemimpin-pemimpin mereka sebagai agama, dan kepala-kepala serta pembesar-pembesar mereka sebagai tuhan-tuhan dengan makna tersebut, dan dikalangan mereka mengambil kanun-kanun(manusia) untuk kehidupan mereka maka kesesatan mereka tersebut adalah sama seperti kesesatan umat-umat terdahulu ”


Al-Maududi menafsirkan Tauhid para Nabi dan Rasul adalah Tauhid Hakimiyyah semata-mata.


  1. Antara prinsip dan kaedah terpenting yang terbina dari prinsip pertama yang menyeleweng adalah Takfir (mengkafirkan) Pemerintah Muslim kesemuanya tanpa ada pengecualian.


“ Dakwah kita kepada seluruh penduduk bumi adalah mengadakan revolusi secara umum pada prinsip pemerintahan kini, yang telah dikawal penuh oleh thaghut-thaghut dan orang-orang jahat yang telah memenuhi bumi ini dengan kerosakan, agar mereka mencabut kepimpinan pemikiran dan ilmu daripada tangan-tangan mereka sehinggalah ia diambil(diganti) oleh lelaki-lelaki yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mereka beragama dengan agama yang benar, dan tidaklah mereka menginginkan kesombongan dan kerosakan”


Kata Al-Maududi lagi:


“ Bahawasanya tujuan penghabisan kita yang kita niatkan disebaliknya dan perjuangan kita sekarang hanyalah untuk mengadakan revolusi dalam kepimpinan, dan aku maksudkan hal tersebut: bahawa apa yang kita hendak sampai kepadanya, dan mencapainya di dunia ini adalah bagi menyucikan bumi ini daripada kekotoran kepimpinan golongan fasiq dan fajir dan ketuanan mereka, dan kita tegakkan padanya sistem kepimpinan yang baik dan rasyid, maka usaha dan perjuangan yang berterusan ini kami lihat adalah medium paling besar dan paling berjaya untuk mencapai keredhaan Allah Ta'ala dan mengharapkan wajahNya yang Tertinggi di dunia dan akhirat ”.  [ Nukilan dari Al-Qissah Al-Kaamilah ] 


Ketika mengomentari pemikiran Al-Maududi ini Ulama Salafi India Syeikh Nadzir Al-Kasymiri mengatakan:


" Syeikh AlaMaududi menampilkan pemikiran falsafah barat dari buku Al Hukumah Al Kulliyah dengan dibungkus pemikiran Islam."  [ Adhwa' Islamiyyah hal 59 ] 


SAYYID QUTB


Nama beliau ialah Sayyid Qutb Ibrahim Syazili, lahir pada tahun 1906 di Asiyut Mesir. Beliau berketurunan India, kerana datuknya Abdullah berasal dari sana. Beliau bermusafir ke Kaherah pada tahun 1920 dan menetap bersama bapa saudaranya di sana. Kemudian melalui bapa saudaranya itu dia mengenali Parti Al-Wafd. Beliau kemudian menyambung pelajarannya ke Kuliah Darul Ulum pada tahun 1929 dan menyelesaikan Ijazah Sarjana Mudanya dalam bidang Sastera pada tahun 1933. Kemudian beliau bekerja sebagai guru di Kementerian Pendidikan Mesir selama enam tahun kemudian dia dilantik menjadi Nazir Pendidikan. Tidak lama selepas itu Kementerian Pendidikan Mesir menghantarnya ke Amerika untuk latihan praktikal pendidikan di sana. Beliau menetap di Amerika selama dua tahun kemudian kembali pada tahun 1950.


Beliau kemudian menyertai Ikhwan Muslimin  dan menjadi penggerak utama dalam revolusi Julai 1952 menggulingkan Raja Farouq.


Kata Sayyid Qutb:


"Sesungguhnya perkara yang meyakinkan dalam agama ini adalah bahwasanya tidak akan tegak di hati ini akidah dan tidak pula dalam kehidupan dunia, kecuali dengan mempersaksikan bahwasanya La ilaaha illallah, iaitu La hakimiyah illa lillah (tidak ada kehakiman kecuali untuk Allah), hakimiyah yang wujud dalam qadha' dan qadarNya sebagaimana wujud dalam syariat dan perintahNya".  [ Al-'Adalah Al-Ijtima'iyyah hal 182 ] 


Kata Sayyid Qutb :


“ Dan akhir sekali, termasuklah juga dalam kategori masyarakat jahiliyyah iaitulah masyarakat yang menganggap bahawa kononnya mereka adalah masyarakat Islam!. Masyarakat ini masuk dalam lingkungan ini kerana tidak percaya dan beriktikad selain daripada Allah sebagai mempunyai sifat ketuhanan, bukan pula kerana  melakukan sebarang jenis ibadat kepada selain Allah, tapi mereka termasuk di dalam kategori masyarakat jahiliyyah kerana tidak menumpu dan membulatkan pengabdian dirinya kepada Allah SWT di dalam sistem hidupnya, dan dia walaupun tidak beriktikad ketuhanan sesuatu apa pun yang lain Allah tetapi  dia telah memberikan salah satu sifat paling istimewa milik Allah yang lain daripadaNya lalu dia rela tunduk (dan patuh kepada keputusan dan hukuman serta pemerintahan selain daripada Allah, dan dia menerima segala peraturan dan undang-undangnya, nilai-nilai dan pertimbangannya, adat resam dan kebudayaannya dalam hampir seluruh asas dan dasar kehidupannya. Sedangkan Allah SWT telah pun berfirman mengenai sifat-sifat orang yang memerintah seperti itu: “Barang siapa yang tidak menghukum dan memerintah dengan hukum yang diturunkan Allah maka adalah mereka itu orang-orang yang kafir.”  [Al-Maidah:44]  [ Fi Zhilal ] 


Hasil daripada doktrin Hakimiyyah Sayyid Qutb inilah mereka telah menubuhkan satu Tanzim Sirri (Secret Force) yang dianggotai oleh ahli-ahli Ikhwan Al-Muslimin di Mesir yang akhirnya membawa kepada pembunuhan Perdana Menteri Mesir ketika itu An-Naqrasyi pada tahun 1948. An-Naqrasyi dibunuh oleh salah seorang anggota Ikhwan Muslimin. Pembunuhan tersebut telah disifatkan oleh Ulama besar Salafi Mesir ketika itu Al-'Allamah Al-Muhaddtih Syeikh Ahmad Syakir (wft:1377H/1958M) sebagai tindakan Khawarij, kata beliau:


"Dan aku telah melihat merupakan kewajipan ke atasku untuk menejelaskan perkara ini dari sudut pandang islam yang sahih, semoga Allah memberi petunjuk kepada sebahagian Khawarij yang jahat agar mereka kembali kepada agama mereka...dan perbuatan mereka (membunuh dan melakukan keganasan) adalah sama seperti Khawarij yang terdahulu ..dan sesungguhnya dosa dan kehinaan akan tertimpa ke atas Khawarij pembunuh yang menghalalkan darah-darah dan juga ke atas sesiapa yang mempertahankan mereka."   [ Rujuk Al-Qissah al-Kamilah ] 


Bahkan pengaruh doktrin Takfiri ini turut diakui oleh tokoh besar Ikhwan Al-Muslimin Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, beliau mengatakan:


" Pada peringkat ini muncullah kitab-kitab Al-Syahid Sayyid Qutb, yang bertindak sebagai peringkat terakhir pengkafirannya, yang jelas memercikkan pengkafiran terhadap masyarakat, menyeru kepada uzlah(pengasingan) emosi (emotional isolation) daripada masyarakat, memutuskan hubungan dengan orang lain, mengisytiharkan jihad serangan terhadap manusia keseluruhannya, dan hal tersebut lebih jelas disebutkan dalam Tafsirnya ( Fi Zhilal Al-Quran) pada cetakannya yang kedua dan (Ma'alim fi al-Tariq)."  


[ Awlawiyaat Al-Harakah Al-Islamiyyah fi Al-Marhalah Al-Qadimah hal 110 ] 


Demikian juga pengaruh buku-buku tulisan Sayyid Qutb terhadap fikrah jihadi ini turut diakui oleh tokoh Al-Qaeda Aiman Al-Zawahiri, beliau mengatakan:


" Sesungguhnya Sayyid Qutb, dialah yang meletakkan dustur (perlembagaan) bagi Jihadiyyin dalam kitab Dinamitnya Ma'alim fi Al-Tariq dan sesungguhnya kitabnya Al-'Adalah Al-Ijtima'iyyah fil Islam dikira sebagai hasil akal dan fikrah bagi aliran fundamental(Jihadiyyun)"  


[ Akbar Al-Syarq al-Awsat bil.8407, hal 13, 10/9/1422H ] 



1970AN- MESIR


Daripada pemikiran inilah gerakan militan Khawarij ini semakin berkembang pada penghujung tahun 70-an, secara umumnya ia bermula di Mesir. Beberapa kumpulan jihad ini mula dibentuk pada tahun 1966 untuk mengembalikan sistem hukum islam di dunia arab. Antara kitab kecil yang menjadi rujukan utama golongan ini adalah Al-Faridhah Al-Ghaibah.


Penulisnya Muhammad bin Abd Salaam Al-Farj (wft:1982M) menyatakan bahawa umat Islam walaupun telah beramal dengan amalan agama tetapi mereka kehilangan kefarduan yang asasi iaitulah jihad, baginya wajib memerangi musuh yang terdekat jika mahu mengembalikan kefarduan tersebut. Musuh terdekat yang dimaksudkan adalah pemimpin-pemimpin negara arab dan islam ketika itu. Golongan terroris ini kemudian telah bertindak melancarkan pemberontakan bersenjata sehingga membawa kepada pembunuhan Presiden Mesir Muhammad Anwar Sadat pada tahun 1981. 


1980AN -JIHAD AFGHAN-SOVIET


Setelah pihak berkuasa Mesir menghukum mati golongan terroris yang terlibat dalam pembunuhan Anwar Sadat, ramai di kalangan saki baki pengikut mereka mula melarikan diri ke Afghanistan. Di sana Amerika Syarikat menggalakkan pemuda-pemuda Islam menyertai peperangan tersebut atas alasan untuk menentang pencerobohan Soviet Union sekaligus menentang kerajaan komunis di Kabul. Ketika itulah seorang tokoh Jihad daripada Jordan, Abdullah Azzam mengeluarkan fatwa bahawa jihad tersebut adalah "Fardhu ain" ke atas setiap muslim.


1990AN- Al-QAEDAH


Al-Qaedah muncul setelah Abdullah Azzam menulis sebuah tulisan dalam salah satu majalah di Afghanistan yang berjudul " Al-Qaedah Al-Solbah". Beliau menyeru agar diasaskan markaz untuk mujahidin di Afghanistan. Namun tujuan utama penubuhan Al-Qaedah itu berubah apabila Abdullah Azzam terbunuh dalam keretanya pada tahun 1989, sehingga sekarang tidak diketahui siapakah yang bertanggungjwab membunuhnya.


Setelah itu berkembanglah gerakan jihad antarabangsa yang membawa nama Al-Qaedah. Setelah kejayaan Mujahidin melawan tentera Soviet, ramailah mujahidin mula pulang ke negara masing-masing. Akibat tidak mengikut fatwa para Ulama Ahli Sunnah ketika itu mereka mula membentuk fikrah takfiri (mengkafirkan ulama dan sesiapa yang tidak menyokong tindakan mereka). Berlakulah siri pengeboman, pemberontakan bersenjata dan penentangan di beberapa negara Arab, seperti di Mesir, Algeria, Arab Saudi dan negara-negara lain.


Bahagian kedua tulisan ini insyaAllah penulis akan membahaskan bagaimana bermula istilah Salafi Jihadi ini, apakah doktrin-doktrin mereka yang lain, siapakah tokoh yang terawal menggunakan istilah tersebut dan apakah benar ia mempunyai kaitan dengan Ulama Salafi seperti Syeikh Muqbil bin Hadi Al-Wadi' dan madrasahnya Darul Hadith Dammaj Yaman?. Semoga Allah mempermudahkan.




MFAZ

















Friday, October 12, 2018

KELEBIHAN YAMAN DAN AHLINYA BAHAGIAN III


MIMPI RABI'AH BIN NASR (310-378M)

Masih lagi membincangkan berkenaan Tubba' Yaman. Kali ini kita akan membahaskan berkenaan seorang lagi keturunan Saba' iaitu Rabi'ah bin Nasr. Nasab beliau sebagaimana disebutkan oleh Al-Suhaili dan Nassab (Ulama Nasab) Yaman: Rabi'ah bin Nasr bin Al-Harith bin Nimarah bin Lakhm bin 'Adi bin Al-Harith bin Murrah bin Udad bin Zaid bin Humaisa' bin Amr bin 'Arib bin Yashjub bin Zaid bin Kahlan bin Saba'.

Ibnu Ishak meriwayatkan bahawa Rabi'ah bin Nasr ini salah seorang daripada sekalian ramainya Tababi'ah (Raja-raja Yaman). Beliau pernah bermimpi suatu mimpi yang sangat menakutkan dan menggerunkannya. Rabi'ah mensyaratkan orang yang boleh mentafsirkan mimpinya itu adalah orang yang sudah tahu mimpinya tanpa diceritkan dahulu. Seluruh ahli sihir, bomoh dan dukunnya menasihati agar Rabi'ah mencari dan merujuk kepada Syiqq dan Satih untuk mentafsirkan mimpinya.

TAKWIL SATIH 

Syiqq atau namanya Syiqq bin Sa'b bin Yashkur bin Ruhm daripada keturunan Nizar, salah seorang Kahin (tukang nujum) di Yaman Satih pula ialah Rabi' bin Rabi'ah bin Mas'ud dari suku Ghassan. Dia juga adalah seorang kahin. Mereka berdualah yang mentafsirkan mimpi Rabi'ah bin Nasr.

Apabila Rabi'ah mengutuskan utusannya untuk menjemput keduanya, Satih sampai dahulu sebelum Syiqq, lalu Rabi'ah menceritakan mimpinya kepada Satih, kata Rabi'ah:

رأيت حُمَمَة خرجت من ظلمة فوقعت في أرض تهامة فأكلت منها كل ذات جُمْجُمَة    

" Aku melihat bara api keluar daripada kegelapan lalu ia jatuh mengenai bumi Tihamah dan api tersebut memakan setiap hidupan yang bertengkorak" 

Satih mentafsirkan mimpi ini:

أحلف بما بين الحرتين من حنش لتهبطن أرضكم الحبش , فليملكن ما بين أبين إلى جرش 

" Aku bersumpah demi Ular berbisa yang berada antara dua bukit hitam dan sungguh benar-benar tentera Habsyah akan masuk menceroboh negeri kalian, ia benar-benar akan menguasai antara Abyan sehingga ke Jurasy". 

Rabi'ah menjawab:

يا سطيح إن هذا لنا لغائظ موجع فمتى هو كائن؟ أفي زماني أم بعده؟ 

" Wahai Satih, sesungguhnya berita ini bagi kami benar-benar menimbulkan kemarahan dan menyakitkan, bilakah ia akan berlaku? adakah pada zamanku ini atau selepasnya?".

Jawab Satih:

لا ، بل بعده بحين ، أكثر من ستين أو سبعين 

" Tidak bahkan berlaku selepasnya tidak berapa lama, lebih daripada enam puluh atau tujuh puluh tahun".

Rabi'ah menyoal lagi:

أفيدوم ذلك من سلطانهم أم ينقطع؟ 

" Adakah kekuasaan mereka tersebut kekal berterusan atau akan terputus?"

Jawab Satih:

بل ينقطع لبضع وسبعين من السنين، ثم يقتلون ويخرجون منها هاربين.

" Bahkan (penjajahannya) akan terputus dalam tempoh tujuh puluh tahun lebih, kemudian mereka akan diperangi, dihalau keluar darinya dalam keadaan mereka melarikan diri".

Kemudian Rabiah bertanya Satih siapakah yang akan memimpin tentera Yaman untuk memerangi dan menghalau tentera Habsyah, lalu Satih menjawab:

يليه إرم ذي يزن يخرج عليهم من عدن فلا يترك منهم أحدا من اليمن


" Akan memimpin tentera tersebut Iram Dzi Yazan, dia keluar (menentang) mereka daripada Aden, tidaklah dia tinggalkan seorang pun dari kalangan mereka (melainkan dihalau keluar) dari Yaman".

Tanya Rabi'ah lagi:

أفيدوم ذلك من سلطانه أم ينقطع؟ 

" Adakah kekuasaannya tersebut kekal berterusan atau akan terputus?"

Lalu jawab Satih: " Bahkan akan putus". Tanya Rabi'ah: " Siapakah yang akan memutuskan kekuasaannya?"

Jawab Satih:

نبي زكي يأتيه الوحي من قبل العلي 

" Seorang Nabi yang suci, datang kepadanya Wahyu daripada sisi Al-A'liyy (Yang Tertinggi)"

Tanya Rabi'ah: " Siapakah Nabi itu?"

Jawab Satih:

رجل من ولد غالب بن فهر بن مالك بن النضر، يكون الملك في قومه إلى آخر الدهر 

" Seorang lelaki dari anak keturunan Ghalib bin Fihr bin Malik bin An-Nadhr, kerajaan (pemerintahan) akan berlegar dalam kaumnya sehingga akhir zaman." 

Tanya Rabi'ah: " Adakah zaman ini ada pengakhirannya?".

Jawab Satih: 

نعم يوم يجمع فيه الأولون والآخرون يسعد فيه المحسنون ويشقى فيه المسيئون 

" Ya, hari yang dihimpunkan orang-orang yang terdahulu dan yang terkemudian, akan berbahagia dalamnya orang-orang yang melakukan kebaikan, dan akan celaka dalamnya orang-orang yang melakukan kejahatan". 

Setelah itu Syiqq juga sampai dan mentafsirkan mimpi Rabi'ah dengan tafsiran yang sama. Setelah mendengar tafsiran Satih dan Syiqq tersebut, Rabi'ah merasa bimbang dengan apa yang akan berlaku lalu Rabi'ah menyiapkan ahli keluarganya untuk meninggalkan Yaman dan menuju ke Hirah kemudian beliau menetap di sana.

[ Al-Bidayah wa An-Nihayah 2/412-415 ] 

Ternyata Nabi yang suci itu merujuk kepada Nabi kita Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam yang kerajaan umatnya akan berterusan hinggalah akhir zaman. InsyaAllah penulis akan mula menulis berkenaan Sirah junjungan Nabi kita pada siri yang akan datang pula. 

Artikel yang berikutnya kita akan membahaskan pula berkenaan hijrah kaum Yahudi ke Yathrib (Madinah) dan kisah Tubba' yang berikutnya iaitu Tubban As'ad Abi Kurab, bagaimana beliau memerangi Yahudi di Madinah dan bagaimana niatnya hendak memerangi Makkah namun Allah muliakannya dengan kemuliaan yang mengangkat kedudukannya dan ahli Yaman. 


Hanya Allah sandaran dan kepercayaanku. 


MFAZ  









Thursday, October 11, 2018

KELEBIHAN YAMAN DAN AHLINYA BAHAGIAN II





SABA' BERIMAN KEPADA NABI MUHAMMAD


Sebagaimana disebutkan pada artikel sebelum ini berkenaan Saba'. Muqatil bin Sulaiman menyebutkan nama Saba' adalah Zajl bin Yashjub bin Ya'rub bin Qahtan, manakala Ibnu Ishak menyebutkan namanya Abd Syams bin Yashjub bin Ya'rub bin Qahtan. 


Beliau dikatakan seorang muslim (mentauhidkan Allah). Memerintah Yaman dan membina Bandar Ma'rib sekaligus membina empangannya yang sangat hebat. Seluruh keturunannya yang memerintah Yaman digelar Tubba'. Sebagaimana yang dikatakan Imam Ibnu Kathir (wft:774H):


كانت سبأ ملوك اليمن وأهلها ، وكانت التبابعة منهم ، وبلقيس -صاحبة سليمان- منهم 


" Saba' termasuk raja-raja Yaman dan ahlinya, Tababi'ah (Tubba'-Tubba') juga dari (keturunan) mereka, Balqis sahabat Sulaiman juga termasuk dari kalangan mereka."   [ Tafsir Ibnu Kathir 6/504 ] 



Aisyah, Sahl bin Sa'ad Al-Sa'idi, Ibnu Abbas, Wahb bin Munabbih meriwayatkan bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam pernah bersabda:


لا تسبوا تبعا فإنه كان قد أسلم 


" Janganlah kalian mencela Tubba', kerana sesungguhnya dia telah islam".


[ HR Al-Tabarani dalam Al-Awsat 2/112, An-Nawafih Al-'Itrah no:452, Silsilah Al-Sahihah no:2423 ] 


Walaupun hadith ini lebih tepat ditujukan kepada anak keturunan Saba' yang kemudian iaitu As'ad Al-Himyari (insyaAllah penulis akan bahaskan berkenaan beliau pada tulisan akan datang) namun tidak dinafikan juga bahawa Saba' telah mewasiatkan kepada zuriat keturunannya supaya beriman dan membela Nabi akhir zaman iaitu Nabi kita Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam. Hal ini jika benar jelas menunjukkan beliau juga seorang yang muslim (membenarkan kenabian Nabi Muhammad).


Dikatakan Saba' pernah mengungkapkan bait syair ini memberitakan akan kedatangan Nabi akhir zaman :




Maksudnya:


" Akan menguasai selepas kita kerajaan yang agung, Seorang Nabi yang tidak meringan-ringankan perkara yang haram,


Akan menguasai juga selepasnya kerajaan-kerajaan dari kalangan mereka, Mereka akan memerintah para hamba tanpa celaan,


Akan menguasai juga selepas mereka kerajaan daripada (kerajaan) kita, Akan menjadilah kerajaan di kalangan kita berpecah-pecah, 


Akan menguasai selepas Qahtan, seorang Nabi,

Dahi (wajahnya) bertaqwa, dia sebaik-baik manusia, 


Digelar ia Ahmad, alangkah baiknya jika aku, 

Dipanjangkan umur selepas pengutusannya walaupun hanya setahun,


Akanku bantunya, merangkak untuk membantunya, dengan segala senjata dan tombak,


Bila dia sudah muncul maka jadilah kalian pembantunya, barangsiapa yang sempat menemuinya sampaikanlah kepadanya salamku. "


[ Al-Bidayah wa An-Nihayah 2/406 ]


Pada rangkap terakhir jelas menunjukkan Saba' mengharapkan jikalau dia dipanjangkan usia dia akan menjadi pembantu dan pembela Nabi akhir zaman, beliau juga mewasiatkan kepada anak-anaknya agar menjadi pembantu dan pembela kepada Nabi akhir zaman bagi siapa yang sempat bertemunya.


Dikatakan wasiat inilah yang dipegang oleh sebahagian  generasi keturunan Saba' sehingga  membawa suku Al-Aus dan Khazraj (Ansar) yang berasal dari Yaman beriman kepada Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam sebelum hijrah baginda ke Madinah, ditambah  bisyarah (khabar gembira) berkenaan kedatangan Nabi Muhammad oleh Yahudi di Yathrib kepada mereka. InsyaAllah pada tulisan akan datang kita akan melihat Tubba' yang berikutnya iaitu As'ad Al-Himyari dan apakah kisah, kelebihan dan jasa beliau yang membuktikan kepada kita akan kelebihan Yaman dan ahlinya sejak sebelum kedatangan Islam lagi.



MFAZ




Monday, October 8, 2018

KELEBIHAN YAMAN DAN AHLINYA BAHAGIAN I






SEJARAH YAMAN

Yaman sebagaimana disebutkan oleh Imam Al-Bukhari: " Dinamakan Yaman kerana ia berada di sebelah kanan Kaabah " [ Fathul Bari 6/660  ]. Menurut Al-Hamadzani (wft:334H) dalam Kitabnya Al-Ansab : " Ketika Arab 'Aribah (asal) merantau melakukan perjalanan, Banu Qatn Bin 'Amir mendatangi satu tempat lalu mereka menghala ke arah kanan (Yaman), kata orang Arab: " Mereka telah menghala ke arah Yaman maka dinamakan mereka Yaman".

Al-Hamadzani (wft:334H) juga menyebutkan dalam Kitabnya Sifat Jazirah Al-'Arab bahawa semenanjung tanah arab terbahagi kepada lima wilayah utama iaitu Tihamah, Hijjaz, Najd, Al-'Arudh dan Yaman. Yaqut Al-Hamawi menukilkan daripada Al-Asmu'i berkenaan kedudukan Yaman secara geografinya adalah Yaman dan seluruh perbatasannya antara Oman dan Najran dikelilingi laut Arab hingga ke Aden terus ke Al-Syihr sampai ke Oman. 

Antara yang terawal menetap di Yaman dan di tanah Haram dan sekitarnya sehinggalah ke Oman adalah Sam bin Nuh 'alaihissalam dan  anak keturunannya dari kalangan Arab, seperti 'Ad, Thamud, Thasm, Judais dan Furs(Parsi). 

[Al-Bustan Al-Jaami' lijami' Tawarikh Ahli Zaman hal 61]  

ADAKAH MAKKAH DAHULU TERMASUK DALAM YAMAN?

Wahb bin Munnabih (wft:114H) menyebutkan antara yang terawal menduduki Yaman iaitu Al-Ahqaf  adalah Nabi Allah Hud 'alaihissalam kemudian cucunya Ya'rub bin Qahtan bin  Hud diwasiatkan oleh datuknya supaya menetap di Yaman. Dikatakan bahawa Nabi Hud 'alaihissalam telah bermimpi bahawa jika ada sesiapa yang mencium bau misk(kasturi) maka ikutlah dia, kerana dia akan menunjukkan kepada sebaik-baik negeri Allah, padanya terdapat Bait(RumahNya) yang lama dan haramnya iaitulah Rumah yang dibina oleh Adam.

Kata Wahb bin Munabbih (wft:114H) : Kemudian yang mencium bau Kasturi tersebut adalah Ya'rub bin Qahtan bin Hud, lalu Nabi Hud mewasiatkan kepada beliau:

دانت ميمون النقيبة يا يعرب أنت ايمن ولدي مر فإذا سكن عنك ما تجد فأنزل على اليمن ولا تمر فإنها لك خير وطن وجاور بيت الله يا خير جوار

" Telah hampirlah kepimpinan yang beruntung wahai Ya'rub, engkau adalah anakku yang kanan, berjalanlah apabila kamu tenang dengan apa yang kamu dapati maka menetaplah di Yaman janganlah kamu meninggalkannya kerana sesungguhnya ia bagimu adalah  sebaik-baik negeri, dan berjiranlah dengan Baitullah wahai sebaik-baik lingkungan(kerabatku) !" 
[ Al-Tijaan fi Muluk Al-Himyar hal 39 ] 

Riwayat ini adalah riwayat sejarah, wallahu'alam akan kesahihannya. Ternyata antara Wahb bin Munabbih dengan Nabi Hud adalah berkurun lamanya namun dari sudut sejarah ianya boleh diterima kerana disokong dengan athar-athar yang lain yang menjelaskan bahawa Baitullah sudah dibina sejak zaman Nabi Adam dan hal ini membuktikan bahawa Makkah dahulu (sebelum persempadanan yang diketahui hari ini) termasuk dalam wilayah Yaman. 

SABA' DAN TUBBA'

Dalam Al-Quran Allah menyebutkan berkenaan nikmat keamanan dan kurniaan yang mencurah-curah yang Allah berikan kepada Kerajaan Saba' yang diperintah seorang Raja yang mentauhidkan Allah yang keturunannya setelah itu digelar dengan gelaran Tubba'. Tubba' ini adalah gelaran Raja Yaman sepertimana Raja Rom digelar Kaisar, Raja Parsi digelar Kisra, Habsyah digelar Najasyi dan Mesir digelar Firaun. 

Muqatil bin Sulaiman (wft:150H) menyebutkan nama Saba' adalah Zajl bin Yashjub bin Ya'rub bin Qahtan bin Nabi Allah Hud 'Alaihissalam.

Menurut Ibnu Ishak, nama Saba' ialah 'Abd Syams bin Yashjub bin Ya'rub bin Qahtan. [ Sirah 1/10, Al-Bidayah wa An-Nihayah 2/406 ] 

Firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ ۖ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍ وَشِمَالٍ ۖ كُلُوا مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ ۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ 

Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!.  [ Saba':15 ]

Nabi Sallallahu'alaihiwasallam pernah ditanya berkenaan Saba', adakah dia seorang lelaki, wanita, atau sebuah negeri?. Lalu Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menjawab:

هُوَ رَجُلٌ وَلَدَ عَشَرَةً فَسَكَنَ الْيَمَنَ مِنْهُمْ سِتَّةٌ وَبِالشَّامِ مِنْهُمْ أَرْبَعَةٌ فَأَمَّا الْيَمَانِيُّونَ فَمَذْحِجٌ وَكِنْدَةُ وَالْأَزْدُ وَالْأَشْعَرِيُّونَ وَأَنْمَارٌ وَحِمْيَرُ عَرَبًا كُلَّهَا وَأَمَّا الشَّامِيَّةُ فَلَخْمٌ وَجُذَامُ وَعَامِلَةُ وَغَسَّانُ

Dia adalah seorang lelaki yang mempunyai sepuluh orang anak, enam orang anaknya menetap di Yaman manakala empat orang dari kalangan mereka menetap di Syam. Adapun Yamaniyyun (menetap di Yaman) mereka adalah Mazhij, Kindah, Al-Azd, Al-'Asy'ariyyun, Anmaar dan Himyar semua mereka adalah bangsa Arab, Adapun Syamiyah(yang menetap di Syam) mereka adalah Lakhm, Judzaam, 'Amilah dan Ghassan.  [ HR Ahmad no:2748, Al-Tabari dalam Tafsirnya ] 

Hadith ini tidak menafikan bahawa Saba' merupakan sebuah negeri atau kerajaan. Hal ini kerana penempatan dan kerajaan tersebut diasaskan oleh lelaki tersebut iaitu Saba' dan keturunannya, kemudian nama negeri atau kerajaan tersebut disandarkan kepada beliau. Sebagaimana dijelaskan oleh para Mufassirin dan Sejarawan.
  
Nikmat keamanan, tanaman, kebun dan buah-buahan yang melimpah ruah dan mereka dijamin akan diberikan keampunan oleh Allah adalah disebabkan penduduk Saba' ketika itu terus menerus mentauhidkan Allah dan tidak mensyirikkan Allah dengan selainNya. Beberapa generasi datang selepas itu mereka mula mengingkari perintah Tauhid kepada Allah dan terjebak dalam kesyirikan lalu Allah mengutuskan tiga belas orang Nabi sebagaimana yang dikatakan oleh Wahb bin Munabbih  [ Tafsir Al-Tabari 19/249 ] lalu mereka mengingkari dan mendustakan seruan tiga belas orang Nabi tersebut. Firman Allah SWT:

فَأَعْرَضُوا فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ الْعَرِمِ وَبَدَّلْنَاهُم بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَيْ أُكُلٍ خَمْطٍ وَأَثْلٍ وَشَيْءٍ مِّن سِدْرٍ قَلِيلٍ

Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara. [ Saba':16 ]

Lalu Allah mengutuskan seekor binatang kecil (dikatakan tikus) yang memecahkan empangan mereka sehingga berlaku banjir besar yang disebut Sayl al-'Arim memecahkan empangan mereka ketika itu sehingga merosakkan kebun tanaman dan penempatan mereka. Setelah itu mereka menjadi berpecah belah dan berselisih sesama mereka sehinggalah muncul semula beberapa orang Tubba' yang beriman kepada Allah dan beriman kepada kitab Taurat seterusnya beriman dengan kenabian Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam yang termaktub dalam Taurat.

JURHUM YAMAN

Setelah tepecahnya empangan tersebut, keturunan Saba' berhijrah ke seluruh pelusuk semenanjung Tanah Arab, Thaqif di Taif, Ghassan berhijrah ke utara Syam, Al-Manazirah berhijrah ke Hirah, dan yang kekal di Yaman antaranya adalah suku Jurhum kemudian mereka berhijrah ke Makkah.

Jika ditinjau dari sudut sejarah awal berkenaan mereka apabila termakbulnya doa Nabi Ibrahim Al-Khalil 'Alaihissalam ketika baginda meninggalkan Hajar dan Ismail di Makkah yang ketika itu adalah tanah yang gersang dan kering kontang tiada sebarang tanaman. Ketika hendak meninggalkan Hajar dan Ismail atas wahyu dan perintah Allah, Ibrahim memandang ke arah tapak Kaabah yang belum dibina lalu berdoa:

رَّبَّنَا إِنِّي أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِّنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُم مِّنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ 
  
" Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan solat (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur." [ Ibrahim:37 ]

Ketika Hajar kehabisan air dan anaknya Ismail kehausan, Hajar berjalan di lembah mencari air dan manusia di antara bukit Safa dan Marwa sehingga tujuh kali, Allah menurunkan malaikat memukul dengan sayapnya ke tanah sehingga mengeluarkan air zam-zam. Tidak lama selepas itu beberapa kafilah daripada suku Jurhum yang mereka berasal dari Yaman telah melihat ada burung yang mengelilingi langit dimana kawasan air zam-zam keluar. 

Mereka mendatangi kawasan tersebut lalu meminta izin daripada Hajar untuk menetap di situ sambil Hajar mensyaratkan agar air zam-zam itu bukan dijadikan hak milik mereka dan mereka perlu mendidik dan mengajar anaknya Ismail bahasa arab, memanah, berkuda sehingga terealisasilah doa Nabi Ibrahim sampai Ismail membesar dan menikahi dua orang wanita dari suku Jurhum. Ini jelas merupakan kelebihan suku Jurhum dan ahli Yaman kerana Allah melembutkan dan mencenderungkan hati mereka untuk menetap di Makkah. Mereka jugalah penduduk terawal yang menetap di Makkah.

Siri akan datang insyaAllah penulis akan membahaskan berkenaan Tubba' yang beriman kepada kenabian Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam sebelum kelahiran dan pengutusan baginda seterusnya kita akan melihat sejarah Yaman dan ahlinya serta kelebihan mereka pada zaman Islam pula insyaAllah..



MFAZ




FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II 16. Syeikh Badi'u ddin Rasyidi Al-Sindhi yang meru...