Friday, May 24, 2019

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II





16. Syeikh Badi'u ddin Rasyidi Al-Sindhi yang merupakan Ulama hadith yang berasal Pakistan kemudian menetap di Makkah telah dijemput oleh JSAM. Syeikh Badi'uddin inilah antara tokoh yang banyak mempengaruhi manhaj ilmu JSAM lebih-lebih lagi beliau merupakan Ahli Hadith. Sebagaimana yang kita sedia maklum hakikatnya Juhaiman dan JSAM hanya menggunakan Syeikh demi kepentingan untuk mempengaruhi dan mengumpulkan kepercayaan pengikutnya di kalangan pemuda dan penuntut ilmu sahaja.


17. Selain daripada Syeikh Al-Albani, Badi'uddin Al-Sindhi, Syeikh Muqbil bin Hadi Al-Wadi'i juga antara tokoh utama yang sangat mempengaruhi manhaj Ilmu gerakan Ikhwan (JSAM) dari sudut penzahiran mereka terhadap sikap mengagungkan dalil. Syeikh Badi'uddin Al-Sindhi dan Syeikh Muqbil antara yang paling hampir dengan mereka kerana kedua-duanya menetap di Madinah sedangkan Syeikh Al-Albani menetap di Syam dan mereka hanya menemui Syeikh Al-Albani ketika Syeikh menziarahi Madinah dan musim haji iaitulah diadakan pertemuan dengan Syeikh di dalam khemah jemaah Haji. Perlu ditekankan ini semua adalah sebelum terzahirnya fitnah Juhaiman.


18. Syeikh Muqbil bin Hadi Al-Wadi'i dalam salah satu rakaman audio ceramahnya pernah menjawab pertanyaan berkenaan fitnah Juhaiman, dan Syeikh Muqbil menafikan beliau terlibat bersama menyokong jenayah Juhaiman  dan jamaahnya kerana setahun sebelum terjadinya fitnah pengepungan Syeikh telah dikeluarkan dari Arab Saudi namun Syeikh tidak menafikan bahawa kebanyakan dari kalangan mereka adalah sahabatnya di Madinah dan belajar dari beliau bahkan mereka menganggap Syeikh Muqbil sebagai mufti mereka. Apa yang menyebabkan Syeikh Muqbil mula mengingkari dan meninggalkan Juhaiman dan Jamaahnya apabila beliau (Juhaiman) melalui Ahmad Al-Mu'allim (jurutulisnya) telah menerbitkan sebuah risalah terawalnya yang menzahirkan ideologi Khawarij mereka yang membenarkan pemberontakan terhadap pemerintah muslim. Syeikh Muqbil menceritakan kisah Juhaiman ini di dalam kitabnya Al-Makhraj Min al-Fitnah.


19. Syeikh Muqbil menyifatkan kumpulan Ikhwan yang dikepalai oleh Juhaiman ini (JSAM) datang belajar dan menjemput beliau dan beberapa orang Ulama lain seperti Syeikh 'Atiyyah Salim (Qadhi di Mahkamah Madinah). Mereka ini mempunyai pandangan-pandangan yang syaz (ganjil), kemudian sebahagian pendapat mereka dalam beberapa isu itu ada yang mereka berdusta atas nama Syeikh Muqbil dan Syeikh Al-Albani dan ada juga yang benar namun mereka bersikap melampau. Akhir sekali Syeikh Muqbil menyebutkan antara yang menyedarkan beliau akan kesesatan Juhaiman ini adalah Syeikh Al-Albani. Setelah itu Ikhwan ini terpecah menjadi dua kelompok, kelompok yang mengikuti Syeikh Abu Bakar Al-Jazairi dan kelompok yang mengikuti Juhaiman.


20. Antara kelemahan yang paling menonjol dalam kumpulan Juhaiman ini adalah mereka tidak mempunyai ta'sil (asas) ilmu yang benar, tidak mempunyai manhaj yang kukuh ketika membahaskan masail ilmiyyah. Maka sebahagian besar mereka mula menampakkan pegangan yang ekstrem dan menganggap apa yang mereka pegang adalah Sunnah Matrukah (Sunnah yang ditinggalkan dan wajib dilaksanakan) dan seperti menganggap perlunya solat menggunakan selipar atau kasut walaupun di atas karpet Masjid ( ia adalah Sunnah yang harus namun mereka seakan-akan mewajibkannya),  mengharamkan emas yang dipakai sebagai rantai, sebahagian mereka tidak memakai jam kerana bagi mereka ia sama seperti rantai, masalah tathwib ( ucapan الصلاة خير من النوم ) dalam azan subuh, mereka berpandangan ia hanya diucapkan dalam azan pertama bukan kedua, mengingkari mihrab-mihrab di Masjid dan beberapa lagi isu yang pada hakikatnya bukanlah isu tersebut itu salah jika dibahaskan secara ilmiah namun sikap mereka yang menjadikan isu-isu tersebut sebagai modal pertengkaran dan fitnah dengan masyarakat dan ahli ilmu.


21. Juhaiman sangat memberi fokus dalam majlis pengajiannya di Bait Al-Ikhwan berkenaan isu taqlid mazhab dan wajib membantah segala ikutan terhadap mazhab dan wajib berpegang kepada dalil. Beliau juga banyak menyentuh berkenaan tafsir mimpi sehingga beliau mula menceritakan kepada sahabat dan pengikutnya berkenaan beberapa mimpinya. Di sinilah permulaan pertama yang dapat menjelaskan lagi fitnah yang akan berlaku kemudian. Pada peringkat ini juga pengikutnya mula menceritakan kelebihan dan ketokohan Juhaiman dan inilah kebiasaan modus operandi ahli batil setiap zaman iaitulah mereka akan menggilap tokoh-tokoh mereka lalu menampakkan kehebatan ketokohannya pada mereka yang jahil. Juhaiman dipuji, dikagumi dan semakin mendapat tempat di hati mereka yang jahil tentang doktrin khawarijnya sehinggakan Juhaiman diangkat seperti seorang Lagenda dalam hati pengikutnya. Ada di kalangan pemuda yang hanya semata-mata mendengar nama Juhaiman lalu terkesan dalam hatinya untuk bertemu dengannya.


22. Kemudian Juhaiman dan Jamaahnya mula beralih ke peringkat seterusnya iaitulah mereka mula berani mengkritik Ulama yang ada ketika itu, sehingga mereka mula mengkritik seorang demi seorang Ulama Salafi ketika itu sehinggalah tidak tinggal Ulama di sisi mereka yang dibolehkan untuk dirujuk dan diambil fatwanya melainkan empat orang iaitu Syeikh Bin Baz, Syeikh Al-Albani, Syeikh Badi'uddin Al-Sindhi dan Syeikh Ibnu Uthaimin sahaja. Tujuan mereka mengekalkan keempat-empat Ulama ini hanyalah sebagai bentuk pengelabuan agar sebahagian besar pengikut mereka tidak menyedari kesesatan mereka dengan jelas dan supaya tidak ada yang mengatakan dakwah mereka tidak disokong oleh Kibar Ulama.


23. Bait Al-Ikhwan ketika itu mula mendapat kunjungan ramai dari kalangan mereka yang datang menziarahi Madinah antara mereka ahli Jamaah Takfir wal Hijrah yang melarikan diri daripada Mesir (Khawarij Mesir), Jamaah Jihad Mesir dan ahli Ikhwan Muslimin. Berlaku perbincangan, perbahasan berkenaan pendirian mereka terhadap Sayyid Qutb, isu mengkafirkan pemerintah dan isu bekerja dengan kerajaan. Pertemuan mereka ini akhirnya membawa kepada pertentangan dan pergaduhan namun ada juga di kalangan mereka yang terpengaruh dengan doktrin Khawarij yang dibawa oleh pengikut Jamaah Takfir yang diasaskan oleh Syukri Mustafa di Mesir. Antara mereka yang terpengaruh di kalangan pengikut Juhaiman adalah tokoh utama JSAM iaitulah Faisal bin Muhammad Faisal Al-Yami/Al-'Ajmi. Beliau bertindak meninggalkan rumahnya di Madinah dan tinggal menetap di khemah di pedalaman padang pasir bersama isteri dan anak-anaknya. Peristiwa ini terjadi pada tahun 1977M iaitu dua tahun sebelum berlakunya fitnah pengepungan Masjidil Haram.


24. Perkembangan inilah yang menggerunkan Juhaiman, kerana beliau paling takut dan benci istilah "Khawarij" ini jika dinisbahkan kepada beliau dan jamaahnya, apatah lagi istilah "Khawarij" inilah juga yang diitlaqkan kepada gerakan bapa dan datuknya dahulu ketika mereka keluar memberontak kepada Raja Abd Aziz. Kebimbangan ini menyebabkan Juhaiman telah merancang untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Syeikh Al-Albani ketika musim haji bersama Faisal Al-Yami. Ketika berlaku pertemuan mereka dengan Syeikh Al-Albani di sebuah Khemah di Mina ketika musim haji, berlakulah perdebatan antara Syeikh Al-Albani dan Faisal Al-Yami, Syeikh Al-Albani mengingkari doktrin Khawarij yang dipegangnya sehingga Faisal Al-Yami mengakui kekhilafannya dan kembali rujuk dari doktrin Khawarij tersebut. Perdebatan dan perbincangan tersebut dirakam namun setelah Juhaiman meminta pita rakaman tersebut beliau telah memusnahkannya atas alasan ia sangat merbahaya jika diketahui pihak Polis dan mata-mata Kerajaan.


25. Setelah itu ahli-ahli JSAM ini mula menyelinap masuk dalam durus-durus Ulama dan Masyaikh di Masjid-masjid. Mereka seakan-akan menjadi blok pembangkang dalam Majlis Ulama. Setiap kali mereka ada dalam majlis dan durus mereka akan bangun bertanyakan dalil, bertanyakan sanad hadith dan membantah Masyaikh dan Ulama sehingga mereka mengganggu perjalanan majlis bahkan menimbulkan kekacauan dan rasa syak dan keraguan dalam hati sebahagian pemuda terhadap Ulama. Mereka kemudiannya meninggalkan Masjid dan solat dirumah-rumah mereka. 


26. Sekitar penghujung tahun 1977M juga telah berlaku pertemuan antara Syeikh 'Atiyyah Salim, Syeikh Hammad Al-Ansari dan Syeikh Muqbil Al-Wadi'i dengan beberapa ahli JSAM di atas sutuh (atap) rumah Bait Al-Ikhwan membincangkan berkenaan isu yang mereka keliru dan mereka menasihati ahli JSAM namun pertemuan tersebut tidak dihadiri oleh Juhaiman. Hal ini menjelaskan kepada kita betapa kerasnya hati Juhaiman dan beliau tidak mengiktiraf keilmuwan para Ulama tersebut. Ketika terzahir sikap ghuluw(eksrem) mereka inilah Syeikh Al-Albani mula mentahzir mereka. Syeikh Muqbil pula hanya mengatakan: " Mereka ini hanya mahukan siyasah (politik)!"


27. Apabila Syeikh Abu Bakar Al-Jazairi diarahkan untuk mengambil alih Bait Al-Ikhwan, beliau datang untuk solat subuh bersama mereka di Bait Al-Ikhwan, kemudian Syeikh Abu Bakar Al-Jazairi datang untuk azan Subuh dan sengaja Syeikh mengucapkan tathwib (الصلاة خير من النوم ) dalam azan yang kedua lantas bangkit Muhammad bin Abdillah Al-Qahtani (yang didakwa sebagai Imam Mahdi) mengatakan: " Bid'ah!, bid'ah, bid'-ah!". Setelah peristiwa tersebut terpecahlah JSAM kepada dua kelompok, kelompok yang mengikuti Syeikh Abu Bakar Al-Jazairi dan majoritinya masih kekal bersama Juhaiman. Lalu Juhaiman dan pengikutnya keluar dari rumah tersebut dan mereka menyewa rumah yang lain. Keseluruhan cabang JSAM di Arab Saudi dan di luar Arab Saudi menyatakan wala' dan taat setia mereka kepada Juhaiman.


28. Ketika inilah Juhaiman mula manzahirkan pendapat-pendapatnya yang pelik seperti tidak boleh belajar di sekolah Kerajaan, tidak boleh bekerja di bawah kerajaan, dan Ilmu hanya boleh diperolehi melalui kitab dan tidak perlukan penjelasan atau syarahan Ulama. Maka ramailah di kalangan pemuda-pemuda yang tidak menghabiskan pengajian mereka di sekolah-sekolah milik kerajaan, dan di kalangan mereka yang mengingkari kemungkaran seperti kewujudan Televisyen yang ada dalam rumah ibu bapa mereka.


29. Pada tahun 1977M juga telah keluar arahan dari pihak berkuasa Arab Saudi supaya menahan keseluruhan anggota JSAM, antara mereka yang ditahan adalah 30 orang anggotanya atas dakwaan pihak perisikan Arab Saudi bahawa mereka telah berusaha menghimpunkan senjata untuk memerangi Kerajaan Arab Saudi. Juhaiman berjaya meloloskan diri dari serbuan tersebut dan beliau menghilangkan diri dan bersembunyi di padang pasir sehinggalah kemunculannya pada dua tahun setelah itu di Masjidil Haram iaitu ketika berlaku pengepungan terhadap Masjidil Haram pada November 1979/awal Muharram 1400H.


30. Anggota JSAM yang dipenjara seperti Muhammad bin Abdullah Al-Qahtani (yang mendakwa sebagai Imam Mahdi) dan beberapa orang lagi ahli JSAM dibebaskan setelah tiada bukti kukuh akan keterlibatan mereka. Bagi mereka yang dipenjara, mereka bertambah yakin bahawa perjuangan Juhaiman inilah yang berada di atas jalan yang benar.


31. Dalam tempoh dua tahun persembunyian Juhaiman di pedalaman padang pasir ini, beliau telah menghimpunkan ramai pengikutnya dari kalangan pemuda dan arab badwi. Juhaiman mula menzahirkan fikrah-fikrahnya yang merbahaya dengan jelas dan mengkritik dengan lantang Ulama-ulama yang tidak menyokong Jamaahnya. Ketika ini juga beliau dengan bantuan Muhammad Al-Qahtani (yang mengaku sebagai Imam Mahdi) menerbitkan sebuah Risalah yang dinamakan sebagai " Rasail Ikhwan" atau "Rasaail Juhaiman" yang ditujukan kepada pengikut-pengikutnya di seluruh cabang dan negeri termasuklah di Makkah dan Madinah.


32. Dalam tahun 1978M (setahun sebelum penyerbuan Masjidil Haram) Juhaiman menerbitkan pula sebuah risalah yang berjudul رفع الالتباس عن ملة إبراهيم ( Mengangkat kekeliruan daripada Millah Ibrahim ), lalu mereka cuba membawakan risalah ini kepada Syeikh Bin Baz untuk mendapat sokongan Syeikh namun bila dibaca kepada Syeikh Bin Baz beliau melarang mereka untuk menyebarkannya. Namun mereka tidak mendengar nasihat Syeikh Bin Baz lantas mereka berdusta atas nama Syeikh Bin Baz dengan mendakwa Syeikh Bin Baz membenarkan penyebaran risalah tersebut. Kandungan risalah ini jelas mengkritik Kerajaan Arab Saudi, mengkritik Jamaah Ansar Al-Sunnah (Mesir) dan Salafiyyin (mereka yang berpegang dengan Manhaj Salaf yang benar seperti murid-murid Syeikh Al-Albani dll) juga mengkritik Ikhwan Muslimin kerana tidak menjalankan tanggungjawab Amar Makruf Nahi Mungkar terhadap Kerajaan yang zalim.


33. Antara risalah terpenting Juhaiman juga adalah risalah beliau berkenaan Penzahiran Imam Mahdi, risalah terakhir beliau menyeru Ulama dan orang awam agar keluar memberontak terhadap Kerajaan Arab Saudi yang berjudul الإمارة، والبيعة والطاعة ( Pemerintahan, Bai'ah dan Ketaatan) . Risalah pertama beliau itu kemudiannya dibantah oleh bekas gurunya juga iaitu Syeikh Badi'uddin Rasyidi Al-Sindhi dengan menyebutkan Millah Ibrahim tiada sebarang kekeliruan seperti yang beliau maksudkan. Walaupun beliau tidak mengkafirkan Kerajaan Arab Saudi namun beliau berpandangan boleh keluar memberontak terhadap Kerajaan Arab Saudi.


34. Syeikh Muqbil juga antara Ulama yang cuba dipengaruhi oleh JSAM untuk mendapatkan sokongan beliau, mereka telah membacakan kepada Syeikh Muqbil risalah Juhaiman lalu Syeikh Muqbil mengingkarinya, Qaddarallah Syeikh Muqbil ditahan oleh pihak berkuasa Arab Saudi beberapa ketika kerana didakwa menyimpan risalah Juhaiman kemudian beliau dikeluarkan dari Arab Saudi setahun sebelum berlakunya pencerobohan ke atas Masjidil Haram. Allah menyelamatkan Syeikh Muqbil dari fitnah golongan Khawarij.


35. Setelah itu pengikut Juhaiman mula menyebarkan cerita kononnya Juhaiman tidak dapat dilihat oleh pihak Polis ketika mereka ingin menahannya, dan mereka menceritakan kisah tersebut seakan-akan ia adalah "Karamah" bagi Juhaiman,  namun sebahagian pengkaji mengatakan semua kisah itu adalah rekaan semata-mata.


36. Juhaiman mula melarang pengikut-pengikutnya menghadiri durus dan majlis Syeikh Bin Baz rahimahullah. Namun sebahagian mereka tidak mahu dan kekal bersama majlis Syeikh Bin Baz, walhamdulillah inilah antara sebab yang menjdikan sebahagian besar pengikut Juhaiman mula sedar akan kesesatannya apabila mereka yang melazimi majlis Syeikh Bin Baz mula mengingkari fikrah Mahdawiyyahnya.


37. Awal muncul fikrah Mahdawiyyah (Penzahiran Imam Al-Mahdi) iaitulah yang didakwa kepada sahabat dan pengikut setianya Muhammad bin Abdullah Al-Qahthani. Al-Qahthani ini asalnya merupakan pelajar tahun keempat (tahun terakhir) di Universiti Islam Madinah lalu beliau berhenti ketika tahun terakhir dan meninggalkan pengajiannya. Mereka mula mendakwa Muhammad Al-Qahthani sebagai Al-Mahdi apabila ramai di kalangan anggota JSAM mengalami mimpi yang sama iaitu mendakwa beliau adalah Imam Al-Mahdi yang ditunggu-tunggu. Lalu mereka mula mengkaji nasab Al-Qahtani lalu mendakwa datuknya asalnya adalah Ahli Bait dan beliau bukan berkabilah Qahthani, nisbah Qahthani itu hanyalah nisbah hilf (sekutu) atau wala' bukan nasab.


38. Fikrah Mahdawiyyah yang diseru oleh Muhammad Al-Qahtani dan Juhaiman ini kemudiannya membawa kepada perpecahan kali ketiga JSAM, sehinggakan tokoh-tokoh yang paling dekat dengan Juhaiman seperti Ahmad Al-Mu'allim, Faisal Al-Yami, Ahmad Al-Hazimi sendiri mengingkari dakwaan tersebut. Perpecahan ini bukanlah berlaku secara total namun ia hanyalah ibarat satu khilaf di kalangan mereka kerana mereka masih berhubungan setelah itu.


39. Juhaiman bertindak menikahi adik perempuan Muhammad Al-Qahthani kerana tujuannya untuk mengekalkan dan meneruskan nasab Al-Mahdi yang didakwanya,  manakalah Al-Qahthani masih menyembunyikan fikrah Mahadwiyyah ketika mereka ulang alik ke Kuwait. Lalu berlakulah perancangan mereka untuk masuk ke Masjidil Haram, tarikh yang mereka pilih adalah awal Muharram 1400H/20November 1979. Apa yang menghairankan Faisal Al-Yami walaupun mengingkari fikrah Mahdawiyyah Juhaiman namun beliau turut serta menyertai Juhaiman ke Masjidil Haram.


40. Pada 1 Muharram 1400H/20 November 1979M berlakulah pencerobohan terhadap Masjidil Haram yang mana sebelum itu perancangan teliti telah dilakukan oleh Juhaiman dengan menyimpan makanan di dalam sirdab(bilik-bilik khas) di bawah kawasan telaga air zam-zam dan juga dilakukan penyimpanan senjata-senjata. Proses penyimpanan makanan dan senjata di dalam Masjidil Haram tersebut telah mula dilakukan dua tahun sebelum peristiwa penyerbuan ini berlaku. Bilangan mereka yang menyertai Juhaiman lebih kurang 300-600 orang termasuk kanak-kanak dan wanita.


41. Pada pagi subuh 1 Muharram itu (hari pertama) bangkit Juhaiman dan orang-orang kanannya yang ingin menangkap Imam Masjidil Haram ketika itu Syeikh Ibnu Subayl akan tetapi Syeikh Ibnu Subayl seorang yang bijaksana beliau sempat mencabut jubah imamnya lalu melarikan diri bersama sebahagian makmum dan jamaah Masjidil Haram menuju ke pintu yang sedang ditutup oleh pengikut Juhaiman. Pengikut Juhaiman ketika itu juga ada di kalangan orang Mesir ( sebagaimana riwayat Syeikh Badr Al-'Amir mengatakan 1/4 pengikutnya ketika itu adalah orang Mesir) . Faisal Al-Yami membacakan khutbah dan membacakan hadith-hadith berkenaan Al-Mahdi beserta sanad dan menyatakan kesahihannya lalu mengajak supaya berbai'ah kepada Imam Al-Mahdi iaitu Al-Qahthani. Mereka juga meyakini bawaha akan datang tentera dari Syam kemudian akan ditenggelamkan mereka dan ketika itulah akan terzahir Khalifah Al-Mahdi. Setelah itu ramai di kalangan orang awam yang jahil mempercayai hal tersebut.


42. Berterusanlah pengepungan terhadap Masjidil Haram selama hampir dua minggu, beberapa penembak tepat diletakkan oleh Juhaiman di kawasan menara Masjidil Haram dan berlakulah beberapa pergelutan dan tembak menembak antara tentera Arab Saudi dan tentera Juhaiman sehingga membawa kepada pembunuhan Muhammad Al-Qahthani (Imam Al-Mahdi). Walaupun begitu Juhaiman cuba menyembunyikan berita kematian Al-Qahthani kepada pengikutnya, sehingga pihak berkuasa Arab Saudi dibawah arahan Raja Khalid bin Abd Aziz dan fatwa para Ulama Salafi membenarkan agar dibawa masuk Kereta Kebal dan  untuk menahan dan menolak ilhad dan kejahatan tenteraJuhaiman. Akhir sekali kesemua mereka berjaya ditahan kemudian mereka dihukum pancung di beberapa negeri yang berbeza di Arab Saudi. Terzahirlah kebenaran dan terbungkamlah kebatilan!. Allah SWT memenangkan tentera-tenteraNya atas tentera-tentera syaitan. 


InsyaAllah jika berkesempatan penulis juga akan cuba membahaskan kesimpulan dan pengajaran kisah fitnah Juhaiman ini menurut pandangan Ahli Sunnah wal Jamaah dan jauh sekali mengikut pandangan golongan Liberal dan musuh-musuh Sunnah dan mereka yang terkeliru seperti Dr Jeffri Irwan Haris supaya masyarakat kita mengetahui hakikat sejarah ini dengan benar bukan apa yang telah diselewengkan mengikut naratif musuh-musuh Islam dan Sunnah.


Apa yang penulis ringkaskan ini sebenarnya adalah berdasarkan olahan penulis terhadap apa yang disampaikan oleh beberapa orang murid Syeikh Muqbil yang juga guru penulis di Yaman dahulu, juga guru-guru penulis di Universiti Islam Madinah dahulu yang mereka merupakan orang yang dipercayai agama dan keadilan mereka. Penulis melihat kisah ini sangat kemas disusun dan dihubungkan kisah riwayatnya oleh Syeikh Faisal bin Qazar Al-Jasim yang mempunyai tulisan khusus berkenaan gerakan Khawarij, demikian juga riwayat lain yang diberikan oleh beberapa orang sahabat antaranya riwayat bapa kepada Syeikh Badr Al-'Amir yang menulis ringkasan memori bapanya yang berpengalaman menyaksikan fitnah tersebut di twitternya sebanyak lebih kurang 31 ciapan yang berbentuk kronologi peristiwa sambil disulami beberapa kritikan atas riwayat siri drama العاصوف yang ditayangkan oleh chanel MBC Saudi, juga kritikan terhadap musuh-musuh Sunnah.


Semoga Allah menerima usaha yang kecil ini dalam menjelaskan kekeliruan dan usaha jahat segelintir pihak untuk menyelewengkan sejarah ini. Penulis mengalu-alukan sebarang bentuk teguran atau komen jika ada kekeliruan fakta dalam artikel yang tidak seberapa ini.


Wallahu'alam


Muhammad Fashan Ahmad Ziadi

20 Ramadhan 1440H



Pautan Bahagian I: 

https://taarikhcom.blogspot.com/2019/05/fitnah-juhaiman-pengepungan-terhadap.html


Rujukan:



1. Haadithah Juhaiman waqtiham Al-Haram oleh Syeikh Faisal bin Qazar Al-Jasim. Judul asalnya حادثة جهيمان واقتحام الحرم للشيخ فيصل بن قزار الجاسم rakaman kuliah beliau di Youtube. https://youtu.be/m51uO536GF4


2. Al-Makhraj min al-Fitnah oleh Syeikh Muqbil bin Hadi Al-Wadi'i, Maktabah San'a Al-Athariyyah, Yaman, cetakan pertama tanpa tarikh.



3. Al-Syeikh Muqbil wa Qadhiyah Al-Juhaiman li Syeikh Muqbil bin Hadi Al-Wadi'i. Judul aslinya:الشيخ مقبل وقضية الجهيمان للشيخ مقبل بن هادي الوادعي rakaman audio Syeikh di akaun Youtube atas nama Syeikh Muqbil. https://youtu.be/F-wjPZTwMMc



4. Zikrayat fitnah Juhaiman (Memori Fitnah Juhaiman) oleh Syeikh Badr Al-'Amir. ذكريات فتنة جهيمان للشيخ بدر العامر  https://drive.google.com/file/d/1KdhIwzEqT5EbmWLXha-qZrG_ZNOodvnn/view?usp=drivesdk



5. Untuk gambaran dan naratif umum dan detail tentang maklumat peristiwa pengepuangan boleh merujuk peristiwa tersebut dalam wikipedia https://en.wikipedia.org/wiki/1979_Grand_Mosque_seizure



No comments:

Post a Comment

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II 16. Syeikh Badi'u ddin Rasyidi Al-Sindhi yang meru...