Monday, October 8, 2018

ALLAH MENCIPTA TANAH PADA HARI SABTU?



Antara hadith yang menimbulkan kemusykilan di kalangan ahli ilmu adalah hadith berkenaan penciptaan tanah pada hari sabtu.

Daripada Abi Hurairah RA, katanya:

أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِي فَقَالَ خَلَقَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ التُّرْبَةَ يَوْمَ السَّبْتِ وَخَلَقَ فِيهَا الْجِبَالَ يَوْمَ الْأَحَدِ وَخَلَقَ الشَّجَرَ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَخَلَقَ الْمَكْرُوهَ يَوْمَ الثُّلَاثَاءِ وَخَلَقَ النُّورَ يَوْمَ الْأَرْبِعَاءِ وَبَثَّ فِيهَا الدَّوَابَّ يَوْمَ الْخَمِيسِ وَخَلَقَ آدَمَ عَلَيْهِ السَّلَام بَعْدَ الْعَصْرِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فِي آخِرِ الْخَلْقِ فِي آخِرِ سَاعَةٍ مِنْ سَاعَاتِ الْجُمُعَةِ فِيمَا بَيْنَ الْعَصْرِ إِلَى اللَّيْلِ

" Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam memegang tanganku, lalu beliau bersabda: 

" Allah 'Azza wa Jalla menciptakan tanah pada hari Sabtu, menciptakan gunung pada hari Ahad, menumbuhkan pohon-pohon pada hari Isnin, menjadikan bahan-bahan mineral pada hari Selasa, menjadikan cahaya pada hari Rabu, menebarkan binatang pada hari Khamis, dan menciptakan Adam 'Alaihis Salam pada hari Jumaat setelah asar, yang merupakan penciptaan paling akhir iaitu saat-saat terakhir di hari jumaat antara waktu asar hingga malam."

[ HR Muslim, Kitab Sifat Hari Kiamat, Syurga dan Neraka, Bab Awal Penciptaan Makhluk dan Penciptaan Adam no:4997 ] 

KEMUSYKILAN HADITH

Jelas Al-'Allamah Syeikh Abd Rahman bin Yahya Al-Mu'allimi rahimahullah (1386H):

" Sebahagian Ahli Hadith mengkritik khabar (hadith) ini, sebab kritikan mereka dapat dilihat daripada beberapa sudut:

  1. Hadith ini tidak menyebutkan penciptaan langit, dan menjadikan penciptaan bumi selama enam hari.
  2. Hadith ini menyebutkan penciptaan makhluk selama tujuh hari sedangkan Al-Quran menjelaskan bahawa penciptaan langit dan bumi berlaku selama enam hari, empat hari bagi penciptaan bumi dan dua hari penciptaan langit.
  3. Hadith ini menyalahi athar-athar yang menyebutkan : hari pertama daripada enam hari tersebut adalah: Ahad, Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis.
[ Anwar Al-Kaasyifah hal 188 ] 

PENDAPAT ULAMA BERKENAAN HADITH INI

Para Ulama berselisih pendapat dalam menerima hadith ini kepada dua pendapat:

Pendapat Pertama: Hadith ini adalah hadith yang lemah sanad dan matannya, maka tidak boleh menjadikan ia sebagai sandaran. Pendapat ini merupakan pendapat Imam Al-Bukhari (256H), Ali bin Al-Madini (234H), Yahya bin Ma'in (233H), Abd Rahman bin Mahdi (198H), Al-Baihaqi (458H), Ibnu Taimiyyah (728H), Ibnul Qayyim (751H), Ibnu Kathir (774H) dan Ibnu Uthaimin (1421H) dan selain mereka rahimahumullah.

Pendapat Kedua: Hadith ini sahih dan tiada kecacatan dalam sanadnya sedikit pun, ini merupakan pendapat Imam Muslim (261H), juga disahihkan oleh Ibnu Hibban (354H), Ibnu Al-Anbari (328H), Ibnul Jauzi (597H), Ahmad Syakir (1377H), Al-Mu'allimi (1386H) dan Al-Albani (1420H) rahimahumullah.

Hujjah Ulama Pendapat Pertama:

'Ilal (kecacatan) hadith ini ditinjau pada riwayat Muslim daripada jalur Suraij bin Yunus dan Harun bin Abdillah, mereka berdua berkata: Telah menceritakan kepada kami Hajaaj bin Muhammad katanya: Berkata Ibnu Juraij: Telah mengkhabarkan kepadaku Ismail bin Umayyah daripada Ayyub bin Khalid daripada Abdillah bin Raafi' maula Ummu Salamah daripada Abu Hurairah.

Mereka mencacatkan sanad ini dari tiga sudut:
  1. Hadith ini merupakan riwayat Abu Hurairah daripada Ka'ab Al-Ahbar (34H), dan ianya riwayat yang mauquf. Sebagaimana yang disebutkan oleh Al-Bukhari dalam Taarikh Al-Kabir 1/314. Juga Ibnul Qayyim dalam Al-Manar Al-Munif hal 72.
  2. Ismail bin Umaiyyah meriwayatkan hadith ini daripada Ibrahim bin Yahya, Ibrahim bin Yahya menurut Ali bin Al-Madini adalah dha'if dan tidak boleh dijadikan hujjah, bahkan beliau di sisi Ahli hadith dikira sebagai matruk dan muttaham bil kazib (tertuduh sebagai melakukan pendustaan) [ Rujuk Ad-Dhu'afa Al-Saghir lil Bukhari hal 408, Taqrib Al-Tahzib 1/65 ] 
  3. Dalam sanadnya terdapat Ayyub bin Khalid, dan dia perawi yang dha'if.  [Tahzib Al-Tahzib 1/365]

Kecacatan dari sudut matan pula dapat dilihat kepada beberapa sudut:

  1. Hadith ini menjadikan penciptaan makhluk selama tujuh hari, ia menyalahi Al-Quran sedangkan dalam Al-Quran disebutkan penciptaan langit, bumi dan apa yang ada di antaranya selama enam hari. [ Al-Sajdah: 4 ] 
  2. Hadith ini tidak menyebutkan penciptaan langit.
  3. Hadith ini menunjukkan penciptaan bumi dan isinya selama enam hari. Ini berbeza dengan Al-Quran yang menyebutkan bumi dicipta selama empat hari, kemudian dicipta langit selama dua hari, sebagaimana dalam Surah Fussilat ayat 9-12.
  4. Hadith ini bercanggah dengan athar yang menyebutkan bahawa hari pertama adalah Ahad kemudian Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Hal tersebut juga telah dinukilkan ijmak oleh Ibnu Jarir Al-Tabari dalam Tarikhnya 1/45.

Hujjah Ulama Pendapat Kedua

  1. Al-Mu'allimi menjawab 'ilal (kecacatan) yang dikemukakan oleh Al-Bukhari dibina di atas tiga asas:

a)  Pengingkaran terhadap khabar (hadith) itu sendiri.

b) Ayyub bin Khalid bukanlah perawi yang kuat, dan dia termasuk perawi yang sedikit diriwayatkan oleh Muslim, Muslim tidak mengeluarkan hadithnya kecuali hadith ini. Walaupun beliau telah dikritik oleh Al-Azdi dan tidak dinukilkan tauthiq(yang menguatkan) beliau dari kalangan mana-mana Imam hadith namun Ibnu Hibban menguatkan beliau walaupun diketahui Ibnu Hibban agak longgar dalam tauthiqnya. 

c) Riwayat yang mengatakan ini pendapat Ka'ab Al-Ahbar perlu dibuktikan sanad dan matannya mungkin ia sendiri adalah lemah, kerana apa yang mahfuz (terpelihara) daripada Ka'ab Al-Ahbar, Abdullah bin Salaam dan Wahb bin Munabbih dan perawi-perawi yang meriwayatkan daripada mereka bahawa mereka menyebutkan permulaan penciptaan makhluk adalah pada hari Ahad dan ini jugalah pendapat Ahli Kitab sebagaimana diriwayatkan dalam Kitab mereka, maka ini menolak dakwaan yang mengatakan apa yang disebutkan dalam hadith ini adalah pendapat Ka'ab.   [ Al-Anwar Al-Kasyifah hal 189-190 ] 

  1. Al-Mu'allimi menjawab 'ilal (kecacatan) yang dikemukakan oleh Ali bin Al-Madini bahawa Ismail bin Umayyah meriwayatkan daripada Ibrahim bin Abi Yahya yang dituduh dengan dusta dengan menyatakan Ismail bin Umayyah adalah tsiqah di sisi mereka (Imam-Imam hadith) dan dia bukan mudallis, sebab itulah -wallahu'alam- Al-Bukhari sendiri tidak bersetuju dengan pendapat gurunya Ali bin Al-Madini, dan Al-Bukhari mencacatkan hadith ini dengan alasan yang lain.  

       Syeikh Al-Albani pula menyatakan dakwaan tersebut kosong daripada dalil, ia tidak lain hanyalah pendapat semata-mata, oleh kerana itu tidak ditolak riwayat Ismail bin Umayyah kerana beliau adalah tsiqah lagi thabt, sebagaimana dikatakan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Taqrib.

  1. Adapun hujjah mereka melemahkan Ayyub bin Khalid, Syeikh Al-Albani membantah dengan mengatakan ianya tidak memberi apa-apa kesan terhadap Ayyub, kerana tidak ada yang mengkritik Ayyub bin Khalid melainkan hanyalah Al-Azdi, Azdi sendiri seorang yang layyin(lemah) di sisi Muhaddithin.  [ Silsilah Ahadith Al-Sahihah 4/450 ] 

Adapun jawapan Ulama terhadap kritikan Matan hadith ini adalah seperti berikut:

  1. Majoriti Ulama yang mensahihkan hadith ini menyatakan penciptaan makhluk bermula pada hari sabtu dan berhenti pada hari khamis maka jadilah ia selama enam hari sebagaimana yang disebutkan Al-Quran, mereka memisahkan penciptaan Adam pada hari jumaat dan mengatakan ia tidak termasuk dalam enam hari yang disebutkan dalam Al-Quran. Maka tertolaklah kemusykilan yang mendakwa hadith ini bercanggah dengan Al-Quran.
  2. Pendapat ini juga dijazamkan oleh Ibnu Ishak dengan berhujjah dengan makna hadith ini. Hal ini sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ibnu Jarir Al-Tabari dalam Tarikhnya. Demikian juga Al-Suhaili.
  3. Al-Mu'allimi membantah dakwaan ijmak berkenaan susunan hari itu bermula dengan Ahad sebagaimana yang dinukilkan oleh Al-Tabari, dan menurut beliau semua riwayat yang menyebutkan hal tersebut tiada yang marfu' bahkan sangat lemah jika nak dibandingkan dengan hadith ini. Majoriti riwayat tersebut sendiri bersumberkan daripada Abdullah bin Salaam, Ka'ab Al-Ahbar dan Wahb bin Munabbih dan kesemuanya dikenali mengambil riwayat daripada Israiliyyat.
  4. Al-Suhaili dalam Raudh 1/271 membantah pendapat Ibnu Jarir dan menyokong pendapat Ibnu Ishak, beliau mengatakan:
 والعجب من الطبري على تبحره في العلم كيف خالف مقتضى هذا الحديث وأعنق في الرد على ابن إسحاق وغيره ومال إلى قول اليهود إن الأحد هو الأول ... 

Sangat pelik Al-Tabari dengan kedalamannya dalam ilmu, bagaimana beliau boleh menyelisihi tuntutan hadith ini dan sangat cepat membantah Ibnu Ishak dan selainnya dan condong pula kepada pendapat Yahudi yang mengatakan Ahad adalah hari yang pertama


Dalam memahami hadith ini mereka juga terbahagi kepada beberapa pendapat:

  1. Ibnu Hubairah (560H) berpendapat penciptaan makhluk tersebut memang bersifat mustaqil(semata-mata) dicipta bumi selama enam hari. Kemudian setelah isi bumi itu dicipta dan disempurnakan barulah dicipta Adam pada hari akhir siang hari jumaat. [ Al-Ifsah 'an Ma'ani Al-Sihah 8/150-151 ] 
  2. Ibnul Jauzi pula mengatakan usul(asas) penciptaan segala sesuatu itu dicipta pada enam hari tersebut, Adam adalah furu'(cabang) daripada usul tersebut iaitu (tanah) maka oleh sebab itulah penciptaan Adam tidak berlaku dalam enam hari tersebut.
  3. Al-Mu'allimi pula mengatakan penciptaan segala makhluk itu tidak terhenti hanya pada enam hari yang disebutkan, kerana Allah sentiasa mencipta dan terus menerus mencipta maka penciptaan Adam adalah pada hari yang berikutnya (hari ketujuh), tiada dalil daripada Al-Quran yang menyebutkan Adam diciptakan dalam enam hari tersebut sehingga kita mendakwa penciptaan alam ini adalah tujuh hari disebabkan hal tersebut.

Kata Syeikh Al-Mu'allimi rahimahullah:

ليس في هذا الحديث أنه خلق في اليوم السابع غير آدم، وليس في القرآن ما يدل على أن خلق آدم كان في الأيام الستة بل هذا معلوم البطلان. وفي آيات خلق آدم أوائل البقرة وبعض الآثار ما يؤخذ منه أنه قد كان في الأرض عمار قبل آدم عاشوا فيها دهراً فهذا يساعد القول بأن خلق آدم متأخر بمدة عن خلق السموات والأرض
فتدبر الآيات والحديث على ضوء هذا البيان يتضح لك إن شاء الله أن دعوى مخالفة هذا الحديث لظاهر القرآن قد اندفعت ولله الحمد.

" Tiada dalam hadith ini menunjukkan bahawa Allah mencipta (makhluk) pada hari ketujuh selain Adam, dan tiada juga dalam Al-Quran apa yang menunjukkan bahawa penciptaan Adam adalah dalam masa enam hari bahkan hal ini sudah dimaklumi kebatilannya. Dalam ayat-ayat yang menjelaskan penciptaan Adam pada awal surah Al-Baqarah dan dalam sebahagian athar , apa yang boleh difahami daripadanya, ia menunjukkan kewujudan makhluk yang memakmurkan muka bumi sebelum Adam hidup di atasnya dalam tempoh masa yang tertentu, maka hal ini menyokong pendapat yang mengatakan bahawa penciptaan Adam itu agak lewat dengan beberapa tempoh tertentu berbanding penciptaan langit dan bumi maka tadabburlah ayat-ayat dan hadith menurut suluhan penjelasan ini nescaya akan jelas bagimu insyaAllah bahawa dakwaan hadith ini bercanggah dengan zahir Al-Quran adalah tertolak segala puji bagi Allah". 

[ Al-Anwar Al-Kasyifah lima fi Kitab Adhwa' 'ala Al-Sunnah hal 190-191 ] 

Wallahu'alam.







No comments:

Post a Comment

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II 16. Syeikh Badi'u ddin Rasyidi Al-Sindhi yang meru...