Sunday, September 30, 2018

SIAPAKAH PEMBUNUH SEBENAR HUSSAIN RA?




Setelah wafatnya Muawiyyah bin Abi Sufyan RA (60H), kaum muslimin telah berbaiah kepada anaknya Yazid bin Muawiyyah sepertimana yang telah diwasiatkan. Abdullah bin Zubair dan Hussain bin Ali RA tidak berbaiah kepada Yazid. Bagi Hussain, urusan khilafah setelah kewafatan Muawiyyah harus dikembalikan semula kepada Syura kaum Muslimin.


Setelah Hussain berangkat menuju ke Makkah, beliau menerima surat yang sangat banyak daripada penduduk Kufah. Mereka meminta supaya Hussain datang ke Kufah untuk dibai'ah oleh mereka. Hussain mengutuskan dua orang utusan iaitu Hani' bin  Urwah Al-Maradi dan sepupunya Muslim bin 'Aqil bin Abi Talib untuk mendapatkan kepastian sekaligus mengambil bai'ah(janji setia) penduduk Kufah untuknya. 


Yazid bin Muawiyyah memerintahkan agar gabenornya yang baru dilantik di Kufah iaitu Ubaidillah bin Ziyad supaya menghalang kemasukan Hussain ke Kufah. Apabila kedua utusan Hussain iaitu Hani' dan Muslim tiba di Iraq mereka dikhianati penduduk Kufah lalu kedua-duanya dibunuh oleh Ubaidillah bin Ziyad.


Sebelum Hussain berangkat ke Kufah, beliau telah dinasihati oleh sahabat Nabi yang senior ketika itu seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan Abu Sa'id Al-Khudri RA supaya beliau tidak keluar ke Kufah. Hussain tetap dengan pendiriannya untuk keluar. Apabila tiba di Karbala, Hussain bertanyakan saudaranya berkenaan tempat tersebut lalu mereka mengatakan ia adalah Karbala lalu Hussain menambah: " Karbun (derita) dan Bala'(musibah)" 


Tentera Ubaidillah yang dipimpin oleh Umar bin Sa'ad datang bertemu Hussain, Umar meminta supaya Hussain menyerahkan dirinya kepada Ubaidillah dan berbaiah kepada Yazid, namun Hussain enggan dan memberikan tiga pilihan: Sama ada beliau dilepaskan untuk pulang ke Madinah, atau dilepaskan untuk pergi ke mana-mana perbatasan kaum muslimin (untuk berjihad), atau dibawa ke Syam untuk diselesaikan urusannya itu dengan Yazid sendiri. 


HUSSAIN DIBUNUH SYAMR BIN ZIL JAUSHAN


Kata Imam Ibnu Abdil Bar rahimahullah (wft:463H) : 


" Hussain dibunuh pada hari jumaat 10 Muharram iaitu hari Asyura pada tahun 61 Hijrah di sebuah tempat yang dinamakan Karbala, Iraq berdekatan Kufah, ia juga dikenali dengan At-Taff. Yang membunuh beliau adalah Sinan bin Abi Sinan An-Nakhaie, dia adalah datuk kepada Qadhi Syuraik.


Menurut Khalifah Ibnu Khayyat ( wft:240H) Hussain dibunuh pada hari Rabu 10 Muharram 61 Hijrah. Dikatakan yang membunuh Hussain adalah seorang lelaki daripada Mazhaj, dikatakan juga yang membunuh Hussain adalah Syamr bin Zil Jaushan... ". 


Kata Yahya bin Ma'in:


" Penduduk Kufah mendakwa yang membunuh Hussain adalah Umar bin Sa'ad bin Abi Waqqas, namun Ibrahim bin Sa'ad meriwayatkan hadith berkenaan hal tersebut dan mengatakan Hussain tidak dibunuh oleh Umar bin Sa'ad"  


Kata Ibnu Abdil Bar:


" Hanyasanya dinisbahkan pembunuhan Hussain kepada Umar bin Sa'ad kerana beliau adalah panglima tentera yang dilantik oleh Ubaidillah bin Ziyad supaya memerangi Hussain...  [ Al-Isti'ab fi Ma'rifah Al-Ashab hal 184  ] 


Kata Khalifah bin Khayyat (240H);


" Yang membunuh Hussain (sebenarnya) adalah Syamr bin Zil Jaushan, manakala panglima perang ketika itu adalah Umar bin Sa'ad" 


SIAPAKAH YANG TERBUNUH BERSAMA HUSSAIN?


Antara yang terbunuh bersama Hussain di Karbala':


  1. Jaafar bin Ali bin Abi Talib. Ibunya adalah Ummul Banin binti Hizam.
  2. Uthman bin Ali bin Abi Talib. Ibunya juga Ummul Banin.
  3. Al-'Abbas Asghar bin Ali bin Abi Talib. Ibunya Lubabah binti Ubaidillah bin Abbas.
  4. Muhammad bin Ali bin Abi Talib Al-Asghar. Ibunya juga Lubabah.
  5. Ali bin Hussain bin Ali, ibunya Layla binti Abi Murrah bin Urwah bin Mas'ud Al-Thaqafi.
  6. Ubaidillah bin Ali bin Abi Talib.
  7. Abu Bakr bin Ali bin Abi Talib.
  8. Al-Qasim bin Hasan bin Ali bin Abi Talib.
  9. Muhammad bin Abdullah bin Jaafar

 

Dan beberapa orang lagi, disebutkan bilangan mereka lebih kurang 17 orang.


[ Tarikh Khalifah Ibnu Khayyat hal 234-235 ]


Kesemua mereka yang terlibat dalam pembunuhan Hussain dikatakan mati terbunuh tidak lama selepas itu. Semoga Allah merahmati dan meredai Hussain dan kesemua mereka yang terkorban di Karbala.


No comments:

Post a Comment

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II 16. Syeikh Badi'u ddin Rasyidi Al-Sindhi yang meru...