Friday, May 24, 2019

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian I




1. Tahun 1960-70-an/1390-1400H menyaksikan perkembangan Ilmu Islam yang pesat di Arab Saudi, sebut sahaja nama-nama Ulamanya yang rasikh(mendalam) ilmu dan kefahaman mereka seperti Syeikh Muhammad bin Ibrahim Alu Syeikh, Syeikh Abd Aziz Bin Baz, Syeikh Al-Syinqithi, Syeikh Al-Albani, Syeikh Ibnu Uthaimin, Syeikh Abdullah Ibn Humaid dan ramai lagi. Mereka ini antara tokoh yang banyak mempengaruhi pegangan agama masyarakat Islam di Arab Saudi iaitulah berpegang teguh dengan Manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah Al-Salafiyyah serta mazhab fiqh mereka Hanbali sambil mereka mendidik masyarakat supaya tidak bersikap ghuluw(melampau) dalam pengamalan agama ditambah pula dengan tertubuhnya Universiti Islam Madinah (UIM) pada tahun  1381H/1961/62M yang banyak mempengaruhi pemikiran masyarakat Islam di Makkah dan Madinah secara khususnya, dan di dunia Islam secara umumnya.

2. Dakwah Salafiyyah di Arab Saudi ketika itu sangat menekankan hubungan antara ilmu dan Ulama.Para pemuda dan penuntut ilmu di Madinah menyibukkan diri mereka dengan menghadiri majlis-majlis ulama kibar ketika itu seperti Syeikh Muhammad bin Ibrahim Alu Syeikh (Mufti Arab Saudi ketika itu), Syeikh Bin Baz, Syeikh Al-Syinqithi dan ramai lagi di sama ada Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Masyarakat dan penuntut ilmu  ketika itu belum mengetahui berkenaan perkumpulan dan hizbiyyah(gerakan siyasah atau rahsia) yang mempunyai tujuan politik seperti Ikhwan Muslimin, Qutubiyyah dan Jamaah Tabligh walaupun kewujudan mereka sudah pun menapak di sana.

3. Antara tokoh yang turut memberi kesan terhadap para pemuda dan penuntut Ilmu di Madinah ketika itu adalah Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani, ketika beliau dijemput sebagai tenaga pengajar di Universiti Islam Madinah selama lebih kurang 4 tahun. Beliau dikenali dengan juhudnya dalam memperjuangakan hadith-hadith Nabi Sallallahu'alaihiwasallam iaitulah perhatiannya yang besar terhadap penyaringan hadith-hadith yang sahih daripada hadith-hadith yang lemah dan palsu. Ketokohan Syeikh Al-Albani juga sangat memberi kesan dan pengaruh yang besar terhadap para pemuda dan penuntut ilmu dalam lapangan dakwah.

4. Bermulanya fitnah ini dalam lingkungan tahun 1964/65 Masihi iaitulah lebih kurang 15 tahun sebelum berlakunya pengepungan di Masjidil Haram, ketika munculnya sekumpulan pemuda antara mereka adalah di kalangan penuntut Ilmu di Madinah yang "bersemangat" untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar namun tidak mengikut ilmu dan kaedah syarak yang benar, kemudian mereka telah bertindak dengan sendirinya memecahkan patung-patung berbentuk jasad wanita yang dipamerkan untuk pakaian yang dijual di pasar-pasar berdekatan Masjid Nabawi, tindakan mereka ini tidak mendapat kebenaran atau pengakuan dari mana-mana Ulama ketika itu. Sehinggalah membawa kepada penangkapan mereka dalam tempoh seminggu, kemudian sebahagiannya ditarik kewarganegaraannya dan dibuang negeri.

5. Bertitik tolak dari peristiwa fitnah inilah mendorong beberapa orang individu antaranya enam orang, lima orang dari kalangan mereka merupakan ahli Jamaah Tabligh dan seorangnya dari kalangan Jamaah Ikhwan Muslimin (Mesir) ketika itu untuk mengasaskan satu Jamaah yang menjalankan dakwah dan Amar Makruf Nahi Mungkar dibawah nama " Al-Jamaah Al-Salafiyyah". Salah seorang dari enam individu pengasas Jamaah ini adalah Juhaiman bin Muhammad Ibn Saif Al-Utaibi yang pernah bergabung dengan Jamaah Tabligh serta terpengaruh dengan Jamaah Ikhwan (di Najd). Usaha dan gerakan dakwah Jamaah ini pada mulanya hanyalah tertumpu di kawasan kampung dan pedalaman.

6. Kemudian Jamaah ini mula bertemu Naib Mudir Universiti Islam Madinah ketika itu Syeikh Abd Aziz bin Baz untuk meminta pandangan dan sokongan Syeikh. Apabila melihat kesungguhan dan semangat mereka apatah lagi gerakan dakwah mereka ini tertumpu di kawasan kampung dan pedalaman Syeikh pun menyokong usaha mereka, lalu Syeikh mencadangkan agar nama Jamaah mereka itu ditambah sebagai "Al-Jamaah Al-Salafiyyah Al-Muhtasibah" (JSAM) kerana mereka hanya mengharapkan amalan dakwah mereka itu semata-semata ganjaran dan pahala dari Allah tanpa mengejar balasan di dunia.

7. JSAM ini mula bergerak secara terang-terangan dan bukanlah bergerak secara sirr (rahsia) seperti kebiasaan gerakan dan tanzimat yang berorientasikan politik ketika itu. Kemudian setelah beberapa tahun mereka mula menggunakan nama "Ahli Hadith" kemudian setelah dapat menarik penyertaan dan sokongan ramai penuntut ilmu dan pemuda ketika itu mereka mula menggunakan nama "Al-Ikhwan" dikalangan mereka. Antara tokoh utama gerakan JSAM ini adalah Juhaiman bin Muhammad bin Saif Al-Utaibi.

8. Juhaiman Al-Utaibi ini diibaratkan seperti seorang yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis) kerana beliau telah meninggalkan pengajiannya ketika darjah empat, dan beliau tidak pandai membaca dan menulis dengan baik, sehingga pengikutnya sendiri mengatakan tulisannya sangat buruk. Bapa beliau Muhammad bin Saif merupakan seorang tokoh Ikhwan (Najd) begitu juga datuknya Sultan bin Bajed Al-Utaibi yang merupakan pemimpin utama Kabilah Utaibi yang asalnya menyokong Raja Abd Aziz Alu Saud namun pernah beberapa kali melakukan pemberontakan sehingga berlakunya peperangan Sabilla pada tahun 1929M namun bapanya terselamat dari terbunuh. Juhaiman sangat mengagungkan Ikhwan (Najd) ini dan sangat berbangga dengan bapanya serta sering menceritakan kisah berkenaan pemberontakan bapa dan datuknya terhadap Raja Abd Aziz. Di sinilah sebahagian pengkaji melihat adanya kecenderungan politik yang kuat serta niat untuk membalas dendam yang kukuh yang membentuk keperibadian Juhaiman.

9. Juhaiman juga dikenali sebagai seorang yang sangat fanatik dengan kabilahnya, sehingga dikatakan dalam majlisnya beliau sering mengangkat kabilahnya dan merendah-rendahkan kabilah yang lain, yang paling menghairankan beliau dilihat sangat keras dalam penilaian hadith-hadith berkenaan hukum hakam dan agama namun ketika menjelaskan berkenaan kabilahnya beliau diilihat sangat bermudah-mudahan menukilkan hadith yang lemah dan palsu. Beliau juga sangat mengagungkan kehidupan Badawi(Pedalaman, bahkan beliau sering menyebutkan kelebihan hidup di pedalaman berbanding hidup di bandar kepada pengikut-pengikutnya.Di sini dapat terzahir sisi taksub qabali (fanatik kabilah) yang ada pada peribadi beliau.

10. Juhaiman pernah berkhidmat sebagai anggota Saudi Arabian National Guard pada tahun 1955 hinggalah tahun 1973. Beliau tidaklah dikenali sebagai seorang yang melazimi Majlis-majlis Ulama di zamannya apatah lagi melazimi majlis Syeikh Bin Baz dan Ulama Salafi yang lainnya, beliau juga tidak menghabiskan pengajian formalnya, dan setelah itu beliau menyambung pengajian di Darul Hadith di Madinah namun hanya sempat menghabiskan satu fasal (semester) di sana kemudian beliau meninggalkan pengajian kerana tidak gemarkan silibus dan manhaj yang ditentukan oleh Darul Hadith Madinah. 

11. Ketika Syeikh Bin Baz menyokong gerakan JSAM ini beliau telah melantik seorang mursyid yang merupakan warganegara Palestin untuk membimbing dan memimpin mereka, namun berlaku khilaf antara JSAM dengan beliau dalam isu wasilah mengubah kemungkaran. Syeikh Bin Baz kemudian melantik Syeikh Abu Bakar Al-Jazairi untuk membimbing mereka sekaligus membentuk jawatankuasa penasihat untuk JSAM. Kemudian gerakan dakwah JSAM ini semakin mendapat tempat di kalangan ramai pemuda kerana usaha mereka yang masuk melakukan dakwah di kawasan kampung dan pedalaman. 

12. Dalam JSAM, ketokohan dan kepimpinan Juhaiman adalah paling menonjol, beliau mampu mempengaruhi rakan-rakan dan pengikutnya. Sikap baik, berani, pemurah dan sanggup mengorbankan kepentingan diri dan melebihkan kepentingan orang lain ternyata telah memberi kesan dan pengaruh yang kuat dalam jiwa pemuda yang mengikuti beliau. Juhaiman tidak dikenali di kawasan bandar seperti di Masjid Nabawi namun beliau sangat dikenali di kampung-kampung dan pedalaman, kerana beliau bertutur menggunakan bahasa 'ammi (arab pasar) dan beliau sangat membenci ilmu nahu, ini menjelaskan lagi kepada kita bahawa beliau bukanlah seorang yang dianggap berilmu atau penuntut ilmu sekalipun.

13. Pada awal tahun 70-an, beliau telah mengasaskan sebuah rumah di kawasan timur Madinah yang diberi nama " Bait Al-Ikhwan" yang juga masyhur dengan nama " Bait Al-Dakwah". Rumah ini berfungsi sebagai tempat perhimpunan JSAM dan tempat kuliah dan perbincangan ilmu serta kajian hadith. Beliau telah menjemput sebahagian besar Ulama di Madinah untuk menyampaikan durus dan kuliah di rumah tersebut, beliau juga menzahirkan kecenderungannya terhadap usaha Syeikh Al-Albani dalam menilai hadith namun usaha beliau nampak agak melampau apabila telah mengabaikan bidang ilmu yang lain khususnya ta'sil ilmu akidah dan fiqh. Bahkan mereka menamakan kitab-kitab fiqh sebagai kitab mazhabi, sehingga dikatakan perpustakaan Juhaiman tiada satu pun kitab fiqh  yang ada melainkan Kitab Al-Muhalla (Ibn Hazm) dan bakinya adalah kitab-kitab hadith dan rijal hadith. Dikatakan juga awal pengajian untuk pemula dikalangan pengikutnya adalah mereka akan diajar bagaimana ingin mengkaji berkenaan rijaal (perawi) hadith dan mustalah hadith serta ilaal hadith sedangkan mereka tidak diajarkan berkenaan Usul Aqidah dan Usul Fiqh!. Jelas lagi kepada kita betapa mengabaikan Ta'sil ilmu khususnya berkenaan akidah dan fiqh akan membawa kepada kemusnahan!.

14. Untuk menyalahkan Syeikh Al-Albani dan Ulama Salafi dalam isu ini sangatlah tidak patut dan melencong dari kebenaran, kerana Syeikh Al-Albani dan murid-muridnya sangat dikenali juhud dan usahanya yang menyeluruh merangkumi ilmu Akidah, buktinya lihat sahaja tahqiq, tahkrij dan syarah Syeikh Al-Albani terhadap risalah-risalah Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti Syarah Al-Tahawiyyah, tahqiq Kitab Al-Iman, Takhrij dan Ta'liq atas Kitab Al-Sunnah Ibn Abi 'Ashim (Zilalul Jannah) dan banyak lagi tambahan pula sangatlah banyak durus, nasihat dan taujihat sama ada dalam bentuk rakaman audio mahupun tulisan Syeikh yang mentahzir para pemuda dan penuntut ilmu dari terlibat dalam fitnah Khawarij dan Hizbiyyah seperti gerakan Ikhwan Muslimin, Hizbu Tahrir dan sebagainya. Demikian juga Syeikh Bin Baz dan Ulama Salafi yang lain. 

15. Setelah JSAM ini berkembang dan semakin mendapat tempat, mereka mula mengembangkan Jamaah mereka kepada lajnah-lajnah tertentu, dan ia berkembang mempunyai cawangan-cawangan di seluruh Arab Saudi bahkan sehinggalah ada cawangan mereka di luar Saudi antaranya di Kuwait. Majoriti ahli yang menyertai JSAM ini dalam lingkungan usia 20-an dan sangat sedikit sekali mereka yang berusi 40 tahun ke atas yang menyertai gerakan ini. Ukhuwwah yang dizahirkan di antara mereka juga sangat kukuh sehingga mereka membayangkan seakan-akan mereka hidup di zaman sahabat Nabi.


InsyaAllah dalam bahagian ke II penulis akan menjelaskan beberapa lagi modus operandi Juhaiman dan Ulama Salafi yang cuba dipergunakan oleh Juhaiman bagi meraih pengaruh dan pengikutnya dalam menggerakkan fikrah Khawarij dan Mahdawiyyahnya  untuk melakukan apa yang tidak pernah kita saksikan berlaku di tanah suci umat Islam. Akan dijelaskan juga bagaimana pengingkaran Syeikh Bin Baz, Al-Albani, Muqbil dan Ulama lain yang terlibat langsung dalam menasihati Jamaah ini sebelum terjadinya peristiwa pengepungan Masjidil Haram yang menggemparkan dunia berdasarkan sumber penceritaan mereka yang dipercayai.



Bersambung.... 

Pautan Bahagian II:

https://taarikhcom.blogspot.com/2019/05/fitnah-juhaiman-pengepungan-terhadap_24.html


MFAZ

No comments:

Post a Comment

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II 16. Syeikh Badi'u ddin Rasyidi Al-Sindhi yang meru...