Sunday, October 7, 2018

BENARKAH SYEIKH MUQBIL BIN HADI Al-WADI'I SEORANG YANG MEMPROMOSIKAN TERORISME?





Sebagaimana sebelum ini negara kita digemparkan dengan beberapa tuduhan dari pihak tertentu yang cuba mengaitkan beberapa tokoh Ulama Ahli Sunnah sebagai mempromosi terorisme ( apa yang dipanggil Salafi Jihadi) khususnya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah (wft:728H), begitu juga Syeikh Muhammad bin Abd Wahhab (wft:1206H) dan Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani (wft:1420H). Hari ini kita lihat mereka juga turut melakukan fitnah yang sama ke atas Syeikh Muqbil bin Hadi Al-Wadi'i (wft:1422H)

Membuat tuduhan dusta kepada seorang Muslim, lebih-lebih lagi Ulama yang sudah meninggal dunia dan banyak berjasa serta berkhidmat untuk Umat Islam adalah termasuk salah satu dosa besar di sisi Allah. Firman Allah SWT:

إِذْ تَلَقَّوْنَهُ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُم مَّا لَيْسَ لَكُم بِهِ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُ هَيِّنًا وَهُوَ عِندَ اللَّهِ عَظِيمٌ

Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.  [ An-Nuur: 15 ] 

Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam:

وَمَنْ قَالَ فِي مُؤْمِنٍ مَا لَيْسَ فِيهِ أَسْكَنَهُ اللَّهُ رَدْغَةَ الْخَبَالِ حَتَّى يَخْرُجَ مِمَّا قَالَ

" Dan barangsiapa mengatakan pada diri seorang mukmin sesuatu yang tidak ada padanya, maka Allah akan menempatkannya dalam perasan (darah dan nanah )penduduk Neraka hingga ia keluar (meninggalkan) dari apa yang ia katakan."   

[ HR Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad ] 

Siapakah Syeikh Muqbil Bin Hadi Al-Wadi'i?

Beliau ialah Al-'Allamah Al-Muhaddith Muqbil bin Hadi Al-Wadi'i, lahir pada tahun 1352H di perkampungan Dammaj di Sa'dah utara Yaman. Beliau tumbuh dan lahir dalam keluarga Syiah Zaidiyyah di sana. Beliau mendapat pendidikan awal daripada Madrasah Syiah Zaidiyyah di sana, antara gurunya Abul Hasan Al-Muayyidi di Najran dan ramai lagi. 

Ketika Syeikh bekerja di Arab Saudi beliau dinasihati oleh seorang individu di Makkah supaya membaca dan mempelajari kitab Syeikh Muhammad bin Abd Wahhab seperti Fathul Majid (Syarah Kitab Tauhid), kemudian Sahih Al-Bukhari dan kitab-kitab Sunnah yang lain, pandangan Syeikh terhadap khurafat, syirik dan bid'ah Syiah di kampungnya berubah. Syeikh mula bersikap megkritik kesyirikan dan bid'ah di kampungnya. Syeikh pernah mendapat ugutan beberapa kali daripada pengikut Syiah di Yaman, mereka memerintahkan Syeikh masuk belajar di Jaami' (Masjid) Al-Haadi supaya menurut mereka Syeikh dijernihkan semula akidah dan pegangannya kembali kepada Syiah. Tetapi Allah Maha Berkuasa usaha mereka itu tidak berjaya apabila Syeikh terus konsisten berpegang kepada Al-Quran dan Al-Sunnah bahkan Syeikh menjadi tokoh dan pejuangnya.

Syeikh Muqbil belajar di Ma'had Al-Haram Makki Makkah kemudian menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Dakwah & Usuluddin secara formal dan mempelajari Ijazah Syariah secara Intisab, kemudian Syeikh menyambung pengajian Ijazah Sarjananya di Universiti Islam Madinah dalam bidang Hadith di mana Syeikh telah mentahqiq kitab Al-Ilzamaat wa Al-Tatabu' karya Imam Al-Daruquthni (wft385H). Antara guru beliau di Makkah seperti Syeikh Yahya bin Usman Al-Bakistani, Syeikh Al-Qadhi Yahya Asywal di Madinah antaranya Mufti Arab Saudi ketika itu Syeikh Abd Aziz bin Baz, Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani, Syeikh Muhammad Al-Amin Al-Syinqithi, Hamad bin Muhammad Al-Ansari dan ramai lagi. 

Setelah pulang ke Yaman Syeikh mengasaskan pusat pengajian di kampungnya yang dinamakan Darul Hadith Dammaj, walaupun kampung tersebut majoriti mereka adalah Syiah Zaidiyyah namun dalam sejarah hidup Syeikh, beliau tidak pernah bertindak secara kekerasan apatah lagi menggunakan senjata dalam dakwah beliau, sebaliknya dakwah beliau diterima di kampungnya sendiri walaupun beliau telah kembali kepada petunjuk Al-Sunnah. Ketokohan Syeikh diakui sama ada oleh kawan mahupun lawannya.

Pandangan dan kritikan tajam Syeikh Muqbil terhadap musuh-musuh Islam dan Sunnah di Yaman mengundang ramai musuh terhadapnya. Syeikh membantah pelbagai syubhat dan kesesatan golongan Syiah Rafidhah, Komunis, Ba'thi, Ikhwan Muslimin, Al-Qa'eda dan aliran-aliran sesat yang lain melalui tulisan dan ceramahnya, namun Syeikh sesekali tidak pernah membenarkan tindakan keganasan dalam dakwahnya. Siapa sahaja yang mengkaji berkenaan Syeikh Muqbil akan mendapati bahawa tiada ruang sedikit pun untuk mentohmah Syeikh Muqbil adalah seorang yang mempromosi keganasan.

Situasi di Utara Yaman bukanlah seperti situasi kita di Malaysia. Utara Yaman ketika zaman tersebut telah diberikan kuasa autonomi daripada pihak Kerajaan Yaman ketika itu, dan mereka masih mengamalkan sistem Kabilah. Juga di sana Kerajaan membenarkan penggunaan senjata api di kawasan tersebut, justeru penggunaan senjata api di sana adalah sesuatu yang normal kerana sistem mereka masih lagi mengamalkan sistem Kabilah. Jika ada yang mendakwa kononnya pelajar-pelajar di sana bermain senjata untuk menjustifikasikan hal tersebut sebagai ciri-ciri Terroris itu adalah satu kenyataan yang tidak berpijak di atas bumi yang nyata. 

ADAKAH SYEIKH MENGAJAK KEPADA TERORISME?

Tuduhan dusta ini muncul bila segelintir golongan tidak membuat pembacaan yang teliti berkenaan Manhaj dan Akidah Syeikh Muqbil. Syeikh Muqbil bin Hadi termasuk dari kalangan Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah tidak sama sekali termasuk dari kalangan Khawarij mahupun Takfiri Irhabi (Teroris) . Bagi sesiapa yang masih ada sekelumit rasa adil dan insaf dalam menilai beliau sudah tentu tidak akan tergamak menuduh beliau sebagai ekstremis apatah lagi sebagai sumber keganasan.

Kata Syeikh Muqbil:

لا نرى الخروج على الحكام المسلمين مهما كانوا مسلمين، ولا نرى الانقلابات سببا للإصلاح، بل لإفساد المجتمع. 

" Kita tidak berpandangan boleh keluar memberontak terhadap pemerintah muslimin walau bagaimanapun (keadaannya) selagi mereka muslim, dan kita tidak berpandangan kudeta(rampasan kuasa) itu adalah sebab perbaikan, bahkan ia merosakkan masyarakat..."  [ Hazihi Dakwatuna wa Aqidatuna hal 10 ] 

Kata Syeikh Muqbil lagi:

الحكومات نحبها بقدر ما فيها من الخير ونبغضها لما فيها من الشر، ولا نجيز الخروج عليها...

" Kerajaan (pemerintah) kita menyintainya sekadar apa yang ada padanya kebaikan dan kita membencinya sekadar apa yang ada padanya berupa keburukan, dan kita tidak mengharuskan khuruj (keluar memberontak)  ke atasnya.."  

Apabila ditanya berkenaan memberontak memerangi pemerintah adakah dibenarkan?

Jawab Syeikh Muqbil:

الخروج ضد الحكام بلية من البلايا التي ابتلى بها المسلمون من زمن قديم، وأهل السنة بحمدالله لا يرون الخروج على الحاكم المسلم...

" Keluar memberontak melawan pemerintah adalah bala bencana daripada bencana-bencana yang kaum muslimin diuji dengannya sejak zaman dahulu lagi, dan Ahli Sunnah segala puji bagi Allah tidak berpandangan boleh keluar memberontak ke atas pemerintah muslim..." 

 [ Tuhfah Al-Mujib hal 227-228 ]

Kata Syeikh Muqbil lagi:

ولست أدعو إلى الثورات والانقلابات، فإن الثورات والانقلابات ليست سبيل الإصلاح، أدعو إلى التعاون ومناشدة المسؤلين وجلوس في بيوت الله وتبليغ شرع الله وعقد المحاضرات

" Bukanlah aku mengajak kepada revolusi dan kudeta, kerana revolusi dan kudeta bukanlah jalan Islah (perbaikan), aku mengajak kepada saling tolong menolong, bekerjasama dengan pihak berwajib, duduk di rumah-rumah Allah dan menyampaikan syariat Allah dan menjalankan muhadarat(kuliah pengajian)" 

[ Al-Musara'ah hal 82 ] 

Apabila ditanya berkenaan tuduhan benarkah Syeikh Muqbil suka mengkafirkan kaum muslimin?. Syeikh menjawab:

أما المسلمون نحن لا نكفرهم، أنا أسألكم يا إخواننا أانتم  تخلوني في بعض الأوقات؟ هل سمعتموني كفرتكم؟، ذاك شأن الخوارج يا إخواننا الذين يجلسون الجلسة ما يقومون إلا وقد كفر بعضهم بعضا 

" Adapun kaum muslimin, kami tidak mengkafirkan mereka, aku nak tanya kamu semua wahai saudara kami, pernahkah kamu duduk bersendirian bersamaku pada beberapa waktu? Adakah kamu pernah mendengar aku mengkafirkan (kaum muslimin)? Hal tersebut adalah perangai Khawarij wahai saudara kami, mereka (Khawarij) sahaja yang duduk dalam satu majlis lalu tidak mereka bangun melainkan mereka saling kafir mengkafirkan antara satu sama lain."  

[ www.muqbel.net/fatwa.php?fatwa_id=227 ] 

Apabila diminta nasihat daripada Syeikh Muqbil berkenaan fitnah Takfiri dan pendakwah-pendakwahnya. Syeikh menjawab:

الذي ننصح به إخواننا المسلمين، ولنا نصائح بحمدالله في الفواكه الجنية وفي المخرج من الفتنة وفي كتب أخرى ننصحهم أن يبتعدوا عن هذه الفكرة وألا يجالسوهم وأن يدعوهم إلى كتاب الله وإلى سنة رسول الله-وليس لهم إلا الدعوة والإعراض عنهم. جماعة التكفير لا تظنوا أن أمرهم سهل، والله لو تمكنوا لذبحونا وذبحوا المسلمين ذبحا ذريعا..

" Kami menasihati saudara-saudara kami kaum muslimin, dan kami sudah tulis nasihat-nasihat segala puji bagi Allah dalam kitab Al-Fawakih Al-Janiyah, dalam Kitab Al-Mukhrij min Al-Fitnah dan dalam kitab-kitab yang lain, kami menasihati mereka agar menjauhi fikrah ini dan jangan duduk bermajlis dengan mereka dan hendaklah menyeru mereka kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah- tiada bagi mereka kecuali dakwah, dan berpaling daripada (kemungkaran) mereka. Jamaah Takfir ini jangan kamu menyangka bahawa urusan mereka itu mudah (untuk ditangani), demi Allah jika mereka berkuasa mereka akan menyembelih kita dan menyembelih kaum muslimin secara kejam..."  

[ www.muqbel.net/fatwa.php?fatwa_id=4144 ] 

Syeikh Muqbil antara yang lantang mengkritik pemimpin Al-Qa'eda seperti Osama bin Laden, antara perkataan Syeikh:

أبرأ إلى الله من أسامة بن لادن هو رجل دموي 

" Aku berlepas diri (memusuhi dan membenci) Osama bin Laden kerana Allah, dia adalah lelaki darah (suka menumpahkan darah manusia) "  

Kata Syeikh lagi:

لا ينبغي أن يؤخذ العلم عن مثل أسامة بن لادن أو المسعري أو غيرهما بل يؤخذ من العلماء أمثال الشيخ بن باز والشيخ ابن عثيمين والشيخ ربيع بن هادي والشيخ صالح الفوزان وأمثال هؤلاء الأفاضل 

" Tidak sepatutnya mengambil ilmu daripada orang seperti Osama bin Laden atau Al-Mas'ariy atau selain keduanya (yang sama pemikiran seperi mereka) bahkan diambil ilmu itu daripada Ulama seperti Syeikh Bin Baz, Syeikh Ibnu Uthaimin, Syeikh Rabi' bin Haadi, Syeikh Soleh Al-Fauzan dan semisal mereka yang mulia".  

 [ Al-Majruhun 'inda Imam Al-Wadi'i hal 34 ] 

Sangat banyak lagi ucapan, tulisan dan perkataan Syeikh yang menunjukkan Syeikh berlepas diri daripada segala tuduhan jahat terhadapnya. Sebahagian pandangan-pandangan Syeikh khususnya dalam masalah ijtihadiah mungkin ada yang boleh dikaji dan diteliti semula namun  menuduh beliau sebagai menggalakkan pembunuhan kaum muslimin atau sumber keganasan adalah jelas fitnah yang nyata. 

Semoga Allah merahmati Syeikh Muqbil bin Hadi Al-Wadi'i dan menjauhkan kita semua daripada fitnah sama ada zahir mahupun batin.


No comments:

Post a Comment

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II 16. Syeikh Badi'u ddin Rasyidi Al-Sindhi yang meru...