Saturday, September 29, 2018

PENDIRIAN AHLI SUNNAH TERHADAP YAZID BIN MUAWIYYAH


Keislaman Yazid bin Muawiyyah tidak seharusnya dijadikan polemik di kalangan Ahli Sunnah. Begitu juga mendakwa ramai Ulama Hanabilah mengkafirkan Yazid adalah kenyataan yang keliru. Mungkin ia berpunca daripada sikap terkeliru dengan kenyataan mengharuskan laknat ke atas Yazid oleh sebahagian di kalangan mereka seperti Qadhi Abu Ya'la dan Ibnul Jauzi. 

Kekeliruan ini berpunca dari berpegangnya sebahagian Ulama Hanabilah dengan riwayat Soleh bin Ahmad yang dinukilkan dari bapanya (Imam Ahmad) yang difahami Imam Ahmad mengkafirkan Yazid dan membenarkan melaknatnya secara ta'yin, namun riwayat tersebut munqati'(terputus) dan tidak sahih daripada Imam Ahmad. Bahkan riwayat yang sama (jika ia sahih) sebenarnya menunjukkan Imam Ahmad tidak melaknat Yazid secara ta'yin apatah lagi mengkafirkannya.
[ Rujuk Minhaj Al-Sunnah 4/573 ]

Riwayat yang sahih menunjukkan Imam Ahmad menahan diri dari melaknat Yazid. Imam Ahmad pernah ditanya oleh 'Ismah bin Abu 'Ismah Abu Talib Al-Akbari berkenaan melaknat Yazid, lalu jawab Imam Ahmad:

لا تتكلم في هذا. قال النبي صلى الله عليه وسلم لعن المؤمن كقتله، وقال خير أمتي قرني ثم الذين يلونهم. وقد كان يزيد فيهم فأرى الإمساك أحب إلي

" Jangan kamu katakan dalam hal ini, sabda Nabi sallallahu'alaihiwasallam: " Melaknat mukmin itu seperti membunuhnya" dan Nabi bersabda: " Sebaik-baik ummat adalah kurunku kemudian mereka yang datang selepas mereka". Yazid termasuk di kalangan mereka maka aku melihat menahan diri (dari melaknat) lebih baik untukku".
[ Al-Khallal, Al-Sunnah hal 521, Abu Ya'la Tabaqat Al- Hanabilah 1/246 ]

Kemudian Al-Khallal menambah:
وما عليه أحمد هو الحق من ترك لعن المعين، لما فيه من أحاديث كثيرة تدل على وجوب التوقي من إطلاق اللعن 

" Apa yang dipegang Ahmad adalah hak iaitu meninggalkan perbuatan laknat mu'ayyan kerana padanya terpadat hadith-hadith yang banyak menunjukkan wajib menahan diri dari memutlakkan laknat (secara ta'yin) " 
[ Al-Khallal, Al-Sunnah hal 522 ]

Status keislaman Yazid dan bapanya Muawiyyah sudah mutawatir dan tidak boleh dimungkiri lagi sebagaimana disebutkan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Seperti manusia lain Yazid tidak maksum, beliau ada melakukan kesalahan dan kesilapan, beliau bukan pembunuh Hussain, dan beliau sendiri tidak reda dengan pembunuhan Hussain, adapun khabar berkenaan kefasikannya kebanyakannya adalah datang dari riwayat-riwayat Syiah atau riwayat-riwayat yang tidak boleh dijadikan sandaran.

Pendirian Ahli Sunnah adalah paling adil berkaitan status Yazid sebagaimana yang ditahqiq oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam Minhaj Al-Sunnah, Ibnul Qayyim dalam Ijtima' Juyush al-Islamiyyah, Ibnu Kathir dalam Al-Bidayah wa An-Nihayah. Begitu juga jika dilihat Al-Ghazali dan ramai di kalangan Ulama turut melarang perbuatan melaknat Yazid.
Imam Ibnul Arabi menukilkan kesepakatan larangan melaknat pelaku maksiat secara ta'yin(spesifik), begitu juga Imam An-Nawawi menyatakan tidak boleh melaknat seseoarang yang tidak diketahui keadaan akhirnya secara pasti. [ Al-Qurtubi, Ahkam al-Quran 1/50, An-Nawawi Al-Azkar 314-315 ] 

Pendirian Ahli Sunnah adalah jelas sebagaimana yang dikatakan Imam Abu Bakr Ahmad bin Al-Husain Al-Syafi'i (lebih dikenali Ibnul Hadaad ) (wft:345H) dalam Akidahnya:
‎ويترحم على معاوية ونكل سريرة يزيد إلى الله تعالى
" Dan (Ahli Sunnah) mendoakan rahmat ke atas Muawiyyah, dan kita menyerahkan urusan batin Yazid kepada Allah Ta'ala "
[ Ibnul Qayyim, Ijtimak Juyush al-Islamiyyah hal 66 ] 

Ibnu Solah ketika ditanya boleh atau tidak melaknat Yazid, maka jawab beliau:
‎وأما سبُّ يزيد ولعنه فليس من شأن المؤمنين
" Adapun mencela dan melaknat Yazid maka itu bukan kebiasaan orang-orang mukmin".
 [ Fatawa Ibnu Solah 4/38, Ibnu Tulun al-Qaid al-Syarid ] 
Tambahan Yazid termasuk dari kalangan panglima tentera yang menyertai peperangan Konstatinople yang didoakan Nabi Sallallahu'alaihiwasallam keampunan buat mereka, sebagaimana diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim:

أَوَّلُ جَيْشٍ مِنْ أُمَّتِي يَغْزُونَ البَحْرَ قَدْ أَوْجَبُوا

 "Tentera pertama dari Umatku yg berperang di laut maka mereka ini telah mewajibkan diri mereka utk masuk Syurga"
dan sabda baginda lagi:

أَوَّلُ جَيْشٍ مِنْ أُمَّتِي يَغْزُونَ مَدِينَةَ قَيْصَرَ مَغْفُورٌ لَهُمْ
 "Tentera pertama dari Umatku yg memerangi Kota Qaisar (Kostantinopel) diampunkan utk mereka (dosa2 mereka)". 
[HR Al-Bukhari & Muslim dan lafaz al-Bukhari ] 

Awal tentera Laut Islam adalah diasaskan oleh Muawiyyah bin Abi Sufyan RA di zaman Khalifah Uthman RA. Awal tentera Islam yg memerangi Kostantinopel adalah yang dipimpin oleh Yazid bin Muawiyah di zaman ayahandanya Muawiyyah menjadi Khalifah

Wallahu'alam bissawab.

No comments:

Post a Comment

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II 16. Syeikh Badi'u ddin Rasyidi Al-Sindhi yang meru...