Saturday, September 29, 2018

INILAH HUSSAIN!



Imam Al-Hussain bin Ali bin Abi Talib, cucunda kesayangan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, penghulu bagi pemuda-pemuda ahli syurga. Beliau tumbuh, dan dididik di atas akidah Islam yang murni. Beliau hakikatnya adalah Imam Ahli Sunnah wal Jamaah dan tidak pernah terpalit langsung dengan bid'ah Rafidhah sehinggalah beliau pergi menemui Allah.
Hussain inilah yang anaknya (Ali bin Hussain Zainul Abidin) mengatakan:
" Wahai penduduk Iraq, cintailah kami dengan kecintaan Islam jangan kalian cintai kami dengan kecintaan asnam(berhala), sentiasalah kecintaan (palsu) kalian itu terhadap kami berterusan sehinggalah ia mencemari nama baik kami " 
[ Syarh Usul 'Itiqad Ahli Sunnah hal 1398 ]

Hussain inilah ketika datang menemuinya beberapa Syiah Iraq lalu mereka mengeji dan mengatakan sesuatu yang buruk terhadap Abu Bakar, Umar dan Uthman lalu beliau bertanyakan mereka:
" Apakah kalian ini termasuk dari kalangan Muhajirin yang terawal (menerima Islam) yang dikeluarkan dari negeri mereka (Makkah) dan meninggalkan harta benda mereka semata-mata mengharapkan kurniaan dan keredaan Allah, mereka membantu agama Allah dan mereka itulah orang-orang yang benar?"
mereka menjawab: " tidak ".

Tanya Hussain lagi:
" Apakah kalian ini termasuk mereka yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidaklah pula ada dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberikan kepada mereka yang berhijrah itu dan mereka mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan berhajat. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya sendiri daripada dipengaruhi tabiat bakhilnya sendiri mereka itulah orang yang berjaya?".
Mereka menjawab: "Tidak" 

Kata Hussain:
" Aku bersaksi bahawa kamu tidak termasuk dari kalangan mereka yang Allah katakan: " Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu".

Sambung Hussain:
Pergilah kalian dariku, semoga Allah tidak memberkati kalian, tidak mendekatkan langkah kalian, kalian adalah kaum yang mempersendakan Islam, kalian bukan termasuk ahlinya!. 

[ Tarikh Madinah Dimasyq Ibnu Asakir jil 41 hal 390 ]

Agama Hussain adalah agama tauhid bukan syirik, agama Hussain adalah solat, puasa, zakat, haji, jihad, kebajikan, berbakti kepada kedua ibu bapa, kecintaan dan wala' terhadap datuknya dan kedua sahabat dan wazirnya Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan seluruh sahabatnya. Sedangkan agama Syiah Rafidhah adalah syirik, bid'ah, khurafat, menampar dan mencederakan badan, penuh kedengkian terhadap Islam dan ahlinya serta hanyalah dipenuhi kisah-kisah dongeng dan khurafat.

Asyura itu adalah hari kesyukuran, hari yang diselamatkan Musa dan orang beriman daripada Firaun dan tenteranya. Yahudi berpuasa dan bersyukur, Nabi bersabda kita lebih berhak menghormati Musa berbanding mereka lalu baginda memerintahkan ia disyukuri dengan berpuasa. Asyura itu adalah hari kesyukuran dan pengampunan bukan sebaliknya bagi Syiah ia adalah hari kesedihan, jeritan, tangisan dan ratapan memukul-mukul badan serta mencela penghulu orang-orang beriman (sahabat Nabi). 

Bagi Ahli Sunnah, Hussain dibunuh secara zalim dan syahid kerana sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam:

Hasan dan Hussain penghulu bagi pemuda ahli syurga
Mereka tidak sesekali bergembira apatah lagi meratap dan memukul badan sehingga berdarah namun mereka reda dengan ketentuan Al-Rahman serta jauh sekali mengikuti langkah-langkah syaitan.

No comments:

Post a Comment

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II

FITNAH JUHAIMAN & PENGEPUNGAN TERHADAP MASJIDIL HARAM (VERSI SAHIH) Bahagian II 16. Syeikh Badi'u ddin Rasyidi Al-Sindhi yang meru...